s 26M Penjualan dan pelupusan kayu yang disita
(1) Ketua Pengarah boleh pada bila-bila masa mengarahkan bahawa mana-mana kayu yang disita di bawah Akta ini dijual dan hasil penjualan itu dipegang sementara menunggu keputusan apa-apa pendakwaan di bawah Akta ini jika— (a) kayu itu mudah merosot kualitinya; (b) penjagaan kayu itu melibatkan perbelanjaan dan kesusahan yang tidak munasabah; (c) terdapat kekurangan atau ketiadaan kemudahan yang mencukupi atau sesuai untuk menyimpan kayu itu; atau (d) kayu itu dipercayai menyebabkan halangan atau berbahaya kepada orang awam. (2) Ketua Pengarah boleh, menurut budi bicaranya— (a) memulangkan untuk sementara kayu itu kepada pemunyanya atau orang yang dari milikan, jagaan atau kawalannya kayu itu disita, tertakluk kepada apa-apa terma dan syarat sebagaimana yang dikenakan oleh Ketua Pengarah dan dalam apa-apa hal, tertakluk kepada jaminan yang mencukupi diberikan sehingga memuaskan hati Ketua Pengarah bahawa kayu itu akan diserahkan balik kepada Ketua Pengarah apabila diminta dan bahawa terma dan syarat tersebut, jika ada, adalah dipatuhi; (b) memulangkan kayu itu kepada pemunyanya atau orang yang dari milikan, jagaan atau kawalannya kayu itu disita dengan kebebasan bagi orang yang kepadanya kayu itu dipulangkan untuk dilupuskannya, pemulangan itu yang tertakluk kepada jaminan diberikan sehingga memuaskan hati Ketua Pengarah dalam amaun tidak kurang daripada amaun yang pada pendapat Ketua Pengarah, merupakan nilai pasaran terbuka kayu itu pada tarikh yang ia dipulangkan bagi pembayaran amaun yang dijamin itu kepada Ketua Pengarah sekiranya Mahkamah membuat suatu perintah bagi pelucuthakkan amaun itu di bawah seksyen 26Q. (3) Walau apa pun subseksyen (1), jika seseorang juruanalisis yang dilantik di bawah seksyen 29G memperakui, atau jika keputusan ujian sebagaimana yang diperakui oleh seseorang juruanalisis membuktikan, bahawa kayu yang diujinya itu merosot dari segi kualiti, Ketua Pengarah boleh menyimpannya dalam jagaan, atau jika tiada pendakwaan dimulakan berkenaan dengan kayu itu, menyebabkan kayu itu dilupuskan mengikut cara yang ditentukan oleh Ketua Pengarah.