Keberhentian Pertubuhan dan pemindahmilikan harta, hak dan tanggungan
(1) Pada dan mulai dari tarikh yang ditetapkan, Pertubuhan hendaklah disifatkan sebagai telah terhenti daripada wujud.
(2) Semua harta, alih atau tak alih, yang sebelum sahaja tarikh yang ditetapkan itu, telah diletak hak pada atau telah dipegang oleh atau untuk Pertubuhan hendaklah, pada tarikh yang ditetapkan itu, dan tanpa apa-apa pemindahhakan, penyerahhakan atau pemindahmilikan, terletak hak atau berpindah kepada Institut dalam keadaan dan mengikut syarat dan maksud sebagaimana harta itu telah diletak hak atau dipegang sebelum sahaja dari tarikh yang ditetapkan itu; dan segala hak dan tanggungan yang, sebelum sahaja dari tarikh yang ditetapkan itu, adalah hak dan tanggungan Pertubuhan hendaklah, pada tarikh yang ditetapkan itu, menjadi hak dan tanggungan Institut.
JADUAL P ERTAMA
[Subseksyen 9(4)]
PERUNTUKAN TAMBAHAN YANG BERHUBUNGAN DENGAN MAJLIS
Pengerusi
1. (1) Yang Dipertua Institut hendaklah menjadi Pengerusi Majlis dan hendaklah mempengerusikan semua mesyuarat Majlis yang dia hadir.
(2) Jika Yang Dipertua tidak hadir, Naib Yang Dipertua hendaklah mempengerusikan mesyuarat itu dan jika Yang Dipertua dan Naib Yang Dipertua tidak hadir, Majlis hendaklah memilih seorang daripada anggotanya untuk mempengerusikan mesyuarat itu.
Majlis pertama dan yang berikutnya
2. (1) Walau apa pun peruntukan seksyen 9, Majlis pertama, selain daripada Ketua Pengarah Kimia, hendaklah dalam suatu mesyuarat agung yang diadakan bagi maksud ini dipilih oleh dan daripada orang yang, sebelum sahaja tarikh yang ditetapkan itu, adalah anggota Pertubuhan.
(2) Pada setiap mesyuarat agung tahunan Institut yang berikutnya, empat kekosongan dalam keanggotaan Majlis, selain daripada keanggotaan Ketua Pengarah Kimia, hendaklah diwujudkan dengan persaraan empat orang anggota secara sukarela atau, jika tidak demikian, melalui pilihan sulit, dan kekosongan yang diwujudkan itu hendaklah diisi melalui pilihan baru.
(3) Anggota Majlis yang bersara di bawah subperenggan (2) adalah layak dipilih semula jika mereka tidak hilang kelayakan daripada memegang jawatan dalam Majlis kerana mana-mana daripada alasan dalam subsubperenggan 3(b) hingga 3(g).
Apabila anggota Majlis hendaklah mengosongkan Jawatan
3. Seseorang anggota Majlis, selain daripada Ketua Pengarah Kimia, hendaklah mengosongkan jawatannya jika—
(a) dia meletak jawatannya;
(b) dia telah tidak menghadiri mesyuarat Majlis tiga kali berturut-turut tanpa kebenaran terlebih dahulu secara bertulis daripada Pengerusi Majlis;
(c) dia menjadi bankrap atau tidak berkemampuan atau dia membuat sesuatu komposisi dengan mana-mana pemiutang atau mengambil peluang atau cuba mengambil peluang daripada peruntukan manamana undang-undang bertulis untuk melikuidasikan aset atau hal ehwalnya;
(d) dia menjadi tidak sempurna akal;
(e) yurannya telah tertunggak selama enam bulan;
(f) dia tidak lagi layak memegang jawatan; atau
(g) dia disabitkan atas suatu kesalahan yang melibatkan fraud, kecurangan atau keburukan akhlak atau suatu kesalahan yang boleh dihukum dengan pemenjaraan, sama ada secara mutlak atau sebagai tambahan kepada atau sebagai ganti denda, selama tempoh dua tahun atau lebih.
Kekosongan luar jangka
4. Apa-apa kekosongan luar jangka yang berbangkit daripada keanggotaan Majlis boleh diisi oleh seseorang anggota Institut yang dipilih oleh Yang Dipertua dan anggota itu hendaklah memegang jawatan sehingga mesyuarat agung tahunan yang berikutnya.
Mesyuarat Majlis
5. (1) Majlis hendaklah bermesyuarat sekurang-kurangnya sekali dalam tiaptiap suku tahun bagi setiap tahun pada masa dan tempat yang ditetapkan olehnya.
(2) Tujuh orang anggota yang hadir sendiri di sesuatu mesyuarat Majlis hendaklah membentuk kuorum.
(3) Sesuatu keputusan lebih suara anggota Majlis yang hadir dan mengundi di sesuatu mesyuarat Majlis hendaklah disifatkan sebagai suatu keputusan Majlis.
(4) Pengerusi atau anggota yang mempengerusikan sesuatu mesyuarat Majlis hendaklah mempunyai undi asal dan pemutus.
(5) Tertakluk kepada kaedah-kaedah, Majlis boleh membuat peraturan mengenai tatacaranya sendiri.
Anggota Majlis tidak dibayar saraan
6. Tiada apa-apa saraan kena dibayar kepada seseorang anggota kerana memegang jawatan.
Tahun kewangan
7. Tahun kewangan bagi Institut hendaklah berakhir pada 31hb Disember.
Mesyuarat agung
8. (1) Tertakluk kepada subperenggan (2), mesyuarat agung Institut boleh diadakan seberapa kerap yang difikirkan perlu oleh Majlis, tetapi Majlis hendaklah memanggil suatu mesyuarat agung tahunan yang hendaklah diadakan di Malaysia dalam masa tiga bulan selepas berakhir tahun kewangan.
(2) Majlis hendaklah mengadakan suatu mesyuarat agung Institut dalam masa enam minggu selepas menerima permintaan bertulis untuk berbuat demikian, yang menyatakan tujuan mesyuarat itu dan yang ditandatangani oleh tidak kurang dari dua puluh lima orang anggota Institut.
(3) Tatacara di mesyuarat agung dan bagi penyampaian notis hendaklah mengikut kaedah-kaedah.