s 23K Kuasa Menteri untuk menggantung atau membuang pelajar daripada Universiti
(1) Menteri boleh— (a) apabila dibuat representasi oleh Universiti; dan (b) jika dia berpuas hati bahawa adalah wajar untuk berbuat demikian demi kepentingan Universiti; memerintahkan secara bertulis supaya mana-mana pelajar— (A) digantung daripada menjadi pelajar bagi apa-apa tempoh yang dinyatakan oleh Menteri dalam perintah itu; atau (B) dibuang daripada Universiti, dan pelajar itu hendaklah, dengan serta-merta selepas itu, digantung atau dibuang sedemikian, mengikut mana-mana yang berkenaan. (2) Seseorang pelajar yang berkenaan dengannya Menteri telah memberikan perintah secara bertulis di bawah subseksyen (1) boleh, dalam masa satu bulan dari tarikh perintah itu, membuat representasi kepada Menteri supaya perintah itu dibatalkan atau diubah. (3) Menteri boleh memberikan apa-apa keputusan yang difikirkannya sesuai dan patut berkenaan dengan mana-mana representasi yang dibuat di bawah subseksyen (2), dan keputusan itu adalah muktamad. CATATAN—Seksyen 23k yang telah dimasukkan melalui seksyen 30 Akta Institut Teknologi MARA (Pindaan) 1996 [Akta A964] masih belum berkuat kuasa—lihat P.U. (B) 461/1996 (4) Sesuatu perintah untuk menggantung seseorang pelajar di bawah subseksyen (1) boleh, dari semasa ke semasa, dilanjutkan selama apa-apa tempoh yang dinyatakan oleh Menteri berkenaan dengan setiap pelanjutan. (5) Seseorang pelajar— (a) yang digantung daripada menjadi pelajar; atau (b) yang dibuang daripada Universiti, di bawah subseksyen (1), tidak boleh, dalam masa penggantungan itu, atau selepas pembuangan itu, mengikut mana-mana yang berkenaan, berada di dalam atau memasuki kampus Universiti kecuali dengan terlebih dahulu mendapat kelulusan bertulis Menteri, dan jika Menteri memberikan kelulusan itu, Menteri boleh mengenakan apa-apa syarat yang difikirkannya patut dikenakan menurut budi bicara mutlaknya. (6) Seseorang pelajar yang dibuang daripada Universiti di bawah subseksyen (1) tidak boleh, selepas pembuangan itu, diterima masuk menjadi pelajar Universiti tanpa terlebih dahulu mendapat kelulusan bertulis Menteri, dan jika Menteri memberikan kelulusan itu, Menteri boleh mengenakan apa-apa syarat yang difikirkannya patut dikenakan menurut budi bicara mutlaknya. (7) Seseorang pelajar— (a) yang berada di dalam atau memasuki kampus Universiti berlanggaran dengan subseksyen (5); atau (b) yang dapat masuk menjadi pelajar Universiti berlanggaran dengan subseksyen (6), melakukan suatu kesalahan dan boleh, apabila disabitkan, didenda tidak melebihi satu ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi enam bulan atau kedua-keduanya. (8) Suatu perintah untuk menggantung atau membuang seseorang pelajar daripada Universiti di bawah seksyen ini boleh, pada bilabila masa, dibatalkan oleh Menteri dan Menteri boleh, menurut budi bicara mutlaknya, membuat pembatalan itu tertakluk pada apa-apa syarat sebagaimana yang difikirkannya patut dikenakan.