s 70F Penyimpanan selamat barang yang disita
(1) Barang yang disita hendaklah dibawa ke mana-mana tempat selamat sebagaimana yang diarahkan oleh Pendaftar atau sebagaimana yang difikirkan patut oleh pegawai diberi kuasa. (2) Jika barang itu disimpan atas arahan pegawai diberi kuasa, pegawai diberi kuasa itu hendaklah memaklumkan Pendaftar tentang tempat barang yang disita itu berada. Notis 70 G. (1) Dengan seberapa segera yang semunasabahnya dapat dilaksanakan selepas barang disita di bawah seksyen 70D, pegawai diberi kuasa hendaklah memberi Pendaftar, pengimport dan pemohon, sama ada sendiri atau melalui pos berdaftar, suatu notis yang mengenal pasti barang itu, yang menyatakan bahawa barang itu telah disita dan tempat barang itu berada. (2) Notis di bawah subseksyen (1) hendaklah juga menyatakan bahawa barang itu akan dilepaskan kepada pengimport melainkan jika suatu tindakan bagi pelanggaran berkenaan dengan barang itu dimulakan oleh pemohon dalam tempoh yang ditentukan dari tarikh notis itu. (3) Jika pada masa notis itu diterima suatu tindakan bagi pelanggaran sudah dimulakan oleh pemohon, dia hendaklah memberitahu Pendaftar hakikat itu. (4) Pemohon boleh, melalui notis bertulis yang diberikan kepada Pendaftar sebelum berakhir tempoh yang ditentukan dalam notis itu (tempoh yang mula-mula), meminta tempoh itu dilanjutkan. (5) Tertakluk kepada subseksyen (6), jika— (a) suatu permintaan dibuat mengikut subseksyen (4); dan (b) Pendaftar berpuas hati bahawa adalah munasabah permintaan itu dibenarkan, Pendaftar boleh melanjutkan tempoh yang mula-mula itu. (6) Suatu keputusan atas sesuatu permintaan yang dibuat mengikut subseksyen (4) hendaklah dibuat dalam masa dua hari kerja selepas permintaan itu dibuat, tetapi keputusan sedemikian tidak boleh dibuat selepas berakhir tempoh yang mula-mula yang dengannya permintaan itu berkaitan.