Menetapkan caruman dalam hal tertentu
(1) Seseorang Pemeriksa boleh menaksirkan apa-apa caruman yang kena di bayar oleh mana-mana majikan utama atau langsung berdasarkan apa-apa maklumat yang ada, jika majikan itu—
(a) tidak menyimpan atau menyenggarakan apa-apa penyata, butiran, buku daftar atau apa-apa rekod berkaitan dengan setiap pekerja sebagaimana yang dikehendaki supaya disimpan atau disenggarakan olehnya di bawah Akta ini; atau
(b) tidak atau enggan mengemukakan apa-apa penyata, butiran, buku daftar atau rekod berkaitan dengan setiap pekerja sebagaimana yang dikehendaki di bawah Akta ini.
(2) Taksiran yang dibuat di bawah subseksyen (1) hendaklah menjadi bukti yang mencukupi tentang tuntutan Pertubuhan untuk mendapatkan balik apa-apa caruman di bawah seksyen 84 atau untuk mendapatkan amaun yang ditetapkan melalui taksiran itu sebagai hutang yang kena dibayar kepada Pertubuhan di bawah seksyen 14.
(3) Apa-apa taksiran yang dibuat di bawah seksyen ini hendaklah disampaikan sama ada sendiri atau melalui pos berdaftar.
Kuasa Ketua Pengarah meminta maklumat dan permohonan bagi waran geledah
13A . (1) Bagi maksud mendapatkan maklumat yang lengkap untuk menentukan sama ada mana-mana orang bertanggungan untuk membayar caruman di bawah Akta ini, Ketua Pengarah atau mana-mana Pemeriksa yang dilantik oleh Ketua Pengarah bagi
maksud itu boleh melalui notis secara bertulis menghendaki manamana orang—
(a) mengemukakan kepada Ketua Pengarah atau Pemeriksa itu dalam masa yang dinyatakan dalam notis itu apaapa maklumat atau butir sebagaimana yang dinyatakan dalam notis itu; atau
(b) hadir sendiri di hadapan Ketua Pengarah atau Pemeriksa itu dan mengemukakan untuk diperiksa semua buku, rekod dan dokumen lain termasuk rekod elektronik yang difikirkan perlu oleh Ketua Pengarah atau Pemeriksa itu; atau
(c) mengemukakan maklumat atau butir mengikut perenggan
(a) dan juga hadir mengikut perenggan (b).
(2) Mana-mana orang yang tidak mematuhi subseksyen (1) melakukan suatu kesalahan.
(3) Jika didapati oleh mana-mana Majistret, berdasarkan maklumat bertulis yang dibuat secara bersumpah, dan selepas apa-apa siasatan yang difikirkannya perlu, bahawa terdapat alasan yang munasabah untuk mengesyaki bahawa terdapat di mana-mana premis tertentu apa-apa buku, akaun, rekod (termasuk rekod elektronik) atau dokumen lain, yang pengemukaannya telah dikehendaki menurut subseksyen (1) dan yang tidak dikemukakan bagi mematuhi kehendak itu, maka Majistret itu boleh mengeluarkan waran yang memberi kuasa kepada Ketua Pengarah atau mana-mana orang yang dinamakan di dalamnya, dengan atau tanpa pembantu—
(a) untuk menggeledah premis itu dan memecah buka dan menggeledah apa-apa almari, laci, almari berlaci, peti, kotak, bungkusan atau bekas lain, sama ada suatu lekapan atau tidak, dalam premis itu; dan
(b) untuk mengambil milik, atau melindungi daripada gangguan, apa-apa buku, akaun, rekod (termasuk rekod elektronik) atau dokumen lain yang tampak sebagai buku, akaun, rekod atau dokumen lain yang pengemukaannya dikehendaki sedemikian.