s 37A Kesalahan yang dilakukan oleh pertubuhan perbadanan
(1) Jika suatu kesalahan terhadap Akta ini atau perundangan subsidiarinya telah dilakukan oleh sesuatu pertubuhan perbadanan, mana-mana orang yang pada masa pelakuan kesalahan itu ialah pengarah, ketua pegawai eksekutif, ketua pegawai operasi, pengurus, setiausaha atau pegawai serupa yang lain dalam pertubuhan perbadanan itu atau yang berupa bertindak atas sifat sedemikian atau yang mengikut apa-apa cara atau pada apa-apa takat tanggungjawab bagi pengurusan apa-apa hal ehwal pertubuhan perbadanan itu atau yang membantu dalam pengurusan sedemikian— (a) boleh dipertuduh secara berasingan atau bersesama dalam prosiding yang sama bersekali dengan pertubuhan perbadanan itu; dan (b) jika pertubuhan perbadanan itu didapati telah melakukan kesalahan, hendaklah disifatkan telah melakukan kesalahan itu melainkan jika dengan mengambil kira jenis fungsinya atas sifat itu dan segala hal keadaan, dia membuktikan— (i) bahawa kesalahan itu telah dilakukan tanpa pengetahuan, persetujuan atau pembiarannya; dan (ii) bahawa dia telah mengambil segala langkah yang munasabah dan telah menjalankan usaha yang wajar untuk mencegah pelakuan kesalahan itu. (2) Jika mana-mana orang boleh di bawah Akta ini atau manamana peraturan yang dibuat di bawah Akta ini, dikenakan apa-apa hukuman atau penalti bagi apa-apa perbuatan, peninggalan, pengabaian atau keingkaran, dia boleh dikenakan hukuman atau penalti yang sama bagi tiap-tiap perbuatan, peninggalan, pengabaian atau keingkaran itu oleh mana-mana pekerja, pekhidmat atau ejennya, atau pekerja atau pekhidmat ejen itu jika perbuatan, peninggalan, pengabaian atau keingkaran itu telah dilakukan— (a) oleh pekerja atau pekhidmat orang itu dalam perjalanan urusan pekerjaannya; (b) oleh ejen itu semasa bertindak bagi pihak orang itu; atau (c) oleh pekerja atau pekhidmat ejen itu dalam perjalanan urusan pekerjaannya dengan ejen itu atau selainnya bagi pihak ejen yang bertindak bagi pihak orang itu.