Pindaan seksyen 58
Seksyen 58 Akta ibu dipinda—
(a) dalam subseksyen (1)—
(i) dengan menggantikan perenggan (a) dan (b) dengan perenggan yang berikut: “(a) atas permohonan Suruhanjaya, Mahkamah Tinggi mendapati bahawa—
(i) wujud kemungkinan yang munasabah bahawa mana-mana orang akan melanggar suatu kehendak yang relevan;
(ii) mana-mana orang telah melanggar suatu kehendak yang relevan; atau
(iii) mana-mana orang telah melanggar suatu kehendak yang relevan dan terdapat langkah-langkah yang boleh diambil untuk meremedi pelanggaran itu atau untuk mengurangkan kesan pelanggaran itu, termasuk membuat restitusi kepada mana-mana orang lain yang terkilan dengan pelanggaran itu, sama ada atau tidak orang itu telah didakwa atas suatu kesalahan berkenaan dengan pelanggaran itu atau sama ada atau tidak pelanggaran itu telah dibuktikan dalam suatu pendakwaan;
(b) atas permohonan suatu syarikat pemegangan bursa atau suatu depositori pusat, mengikut mana-mana yang berkenaan, Mahkamah Tinggi mendapati bahawa—
(i) mana-mana orang telah melanggar suatu kehendak yang relevan; atau
(ii) mana-mana orang telah melanggar suatu kehendak yang relevan dan terdapat langkah-langkah yang boleh diambil untuk meremedi pelanggaran itu atau untuk mengurangkan kesan perlanggaran itu; atau”;
(ii) dengan memasukkan selepas perenggan (b) perenggan yang berikut: “(c) atas permohonan mana-mana orang yang terkilan dengan suatu pelanggaran suatu kehendak yang relevan yang dikatakan telah dilakukan oleh orang lain, Mahkamah Tinggi mendapati bahawa—
(i) orang lain itu telah melanggar kehendak yang relevan itu; dan
(ii) pemohon itu terkilan dengan pelanggaran itu,”;
(iii) dengan menggantikan perenggan (bb) dengan perenggan yang berikut: “(bb) suatu perintah yang menahan seseorang daripada memperoleh, melupuskan atau selainnya menguruskan apa-apa aset yang Mahkamah Tinggi berpuas hati semunasabahnya mungkin akan dilupuskan atau selainnya diuruskan oleh orang itu;”;
(iv) dalam perenggan (gg), dengan menggantikan perkataan “Akta” dengan perkataan “suatu kehendak yang relevan”; dan
(v) dengan memasukkan selepas perenggan (ii) perenggan yang berikut: “(iia) suatu perintah bagi menyekat pelanggaran itu;
(iib) suatu perintah yang menghendaki seseorang, atau mana-mana orang yang didapati telah secara sedar terlibat dalam pelanggaran itu, untuk mengambil apa-apa langkah yang diperintahkan oleh Mahkamah Tinggi supaya diambil untuk meremedi pelanggaran itu atau mengurangkan kesannya, termasuk membuat restitusi kepada mana-mana orang lain yang terkilan dengan pelanggaran itu;”; dan
(b) dengan memasukkan selepas subseksyen (11) subseksyen yang berikut: “(12) Bagi maksud seksyen ini, “kehendak yang relevan”—
(a) berhubung dengan suatu permohonan oleh Suruhanjaya di bawah seksyen ini, ertinya suatu kehendak—
(i) yang dikenakan oleh atau di bawah Akta ini atau mana-mana undang-undang sekuriti;
(ii) yang dikenakan sebagai syarat atau sekatan ke atas mana-mana kelulusan yang diberikan di bawah atau menurut Akta ini;
(iii) yang dikenakan oleh atau di bawah kaedah-kaedah suatu depositori pusat; atau
(iv) yang dikenakan oleh atau di bawah manamana undang-undang lain dan yang pelanggarannya menjadi suatu kesalahan yang Suruhanjaya mempunyai kuasa untuk mendakwa dengan persetujuan secara bertulis daripada Pendakwa Raya;
(b) berhubung dengan suatu permohonan oleh suatu syarikat pemegangan bursa atau depositori pusat, ertinya suatu kehendak yang dikenakan oleh atau di bawah kaedah-kaedah depositori pusat itu, mengikut mana-mana yang berkenaan; dan
(c) berhubung dengan suatu permohonan oleh orang yang terkilan, ertinya suatu kehendak—
(i) yang dikenakan oleh atau di bawah Akta ini;
(ii) yang dikenakan sebagai suatu syarat atau sekatan ke atas mana-mana kelulusan yang diberikan di bawah atau menurut Akta ini; atau
(iii) yang dikenakan oleh atau di bawah kaedah-kaedah suatu depositori pusat.
(13) Suatu permohonan yang dibuat menurut seksyen ini tidak menjejaskan apa-apa tindakan lain yang boleh diambil oleh Suruhanjaya, syarikat pemegangan bursa, depositori pusat atau orang yang terkilan, mengikut mana-mana yang berkenaan, di bawah mana-mana undang-undang sekuriti, mana-mana undang-undang lain atau kaedah-kaedah.”.