Perniagaan jualan langsung hendaklah dijalankan hanya dengan lesen
(1) Tertakluk kepada seksyen 14 dan 42, tiada seorang pun boleh menjalankan apa-apa perniagaan jualan langsung melainkan jika ia suatu syarikat yang diperbadankan di bawah Akta Syarikat 1965 dan memegang lesen yang sah yang diberikan di bawah seksyen 6.
(2) Mana-mana orang yang melanggar subseksyen (1) melakukan suatu kesalahan dan, apabila disabitkan, boleh—
(a) jika orang itu ialah suatu pertubuhan perbadanan, perkongsian atau pertubuhan, didenda tidak melebihi satu juta ringgit dan, bagi kesalahan kali yang kedua atau yang berikutnya, didenda tidak melebihi dua juta ringgit;
(b) jika orang itu bukan suatu pertubuhan perbadanan, perkongsian atau pertubuhan, didenda tidak melebihi dua ratus lima puluh ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi lima tahun atau keduaduanya dan, bagi kesalahan kali yang kedua atau yang berikutnya, didenda tidak melebihi lima ratus ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi sepuluh tahun atau kedua-duanya.
(3) Jika seseorang, yang menjadi pengarah, pengurus, setiausaha atau pegawai serupa itu yang lain dalam pertubuhan perbadanan itu, pekongsi dalam perkongsian itu atau pemegang jawatan dalam pertubuhan itu, mengikut mana-mana yang berkenaan, melakukan kesalahan di bawah seksyen ini menurut kuasa seksyen 38, dia boleh dikenakan penalti yang diperuntukkan di bawah perenggan (2)(b).
Pengemukaan permohonan untuk mendapatkan lesen
5 . ( 1 ) Sesuatu permohonan untuk mendapatkan lesen bagi menjalankan perniagaan jualan langsung yang disebutkan dalam seksyen 4 hendaklah dibuat dengan mengemukakan permohonan secara bertulis kepada Pengawal berserta dengan—
(a) satu salinan memorandum dan perkara persatuan atau dokumen konstituen lain yang di bawahnya pemohon telah ditubuhkan, yang ditentusahkan dengan sewajarnya melalui akuan berkanun yang dibuat oleh seorang pengarah pemohon itu;
(b) satu salinan kunci kira-kira teraudit, akaun untung rugi dan laporan, jika ada, juruaudit dan pengarah pemohon itu, jika berkenaan, yang terbaru;
(c) suatu pernyataan tentang—
(i) nama, tempat dan tarikh penubuhan pemohon itu;
(ii) nama, tempat dan tarikh penubuhan perbadanan berkaitannya;
(iii) perniagaan utama dan bidang operasi pemohon dan perbadanan berkaitannya;
(iv) nama dan alamat pengarah pemohon itu dan perbadanan berkaitannya, dan nama dan alamat pemegang syer substansial, mengikut pengertian seksyen 69d Akta Syarikat 1965, pemohon itu dan perbadanan berkaitannya; dan
(v) skim pemasaran dan perdagangan atau skim pemasaran dan perdagangan dicadangkan pemohon itu berkenaan dengan perniagaan itu; dan
(d) apa-apa maklumat atau dokumen lain yang dinyatakan oleh Pengawal bagi maksud memutuskan permohonan itu dan menentukan kesesuaian pemohon itu untuk mendapat lesen.
(2) Bagi maksud subperenggan (1)(c)(iv), sebutan mengenai suatu syarikat di bawah seksyen 69 d Akta Syarikat 1965 hendaklah ditafsirkan sebagai termasuk suatu syarikat persendirian.
(3) Pada bila-bila masa selepas menerima sesuatu permohonan dan sebelum permohonan itu diputuskan, Pengawal boleh, dengan notis bertulis, menghendaki supaya pemohon atau mana-mana orang yang menjadi atau akan menjadi pengarah atau pengurus pemohon itu memberikan maklumat atau dokumen tambahan.
(4) Perkara yang dinyatakan di bawah perenggan (1)(d) atau kehendak di bawah subseksyen (3) boleh berbeza di antara pemohon yang berlainan, atau pemohon daripada golongan, kategori atau perihal yang berlainan.
(5) Sesuatu permohonan di bawah seksyen ini boleh ditarik balik pada bila-bila masa sebelum permohonan itu diluluskan atau ditolak.
(6) Jika apa-apa maklumat atau dokumen tambahan yang dikehendaki di bawah subseksyen (3) tidak diberikan oleh pemohon atau pengarah atau pengurusnya, mengikut mana-mana yang berkenaan, dalam masa yang dinyatakan dalam kehendak itu atau apa-apa perlanjutan masa itu yang diberikan oleh Pengawal, permohonan itu hendaklah disifatkan telah ditarik balik dan tidak boleh terus diuruskan, tetapi tanpa menjejaskan pembuatan permohonan baru dibuat oleh pemohon.
(7) Mana-mana orang yang memberikan maklumat atau dokumen yang palsu atau mengelirukan di bawah seksyen ini melakukan suatu kesalahan.