Perkara yang dilakukan pada menjangkakan Akta ini akan diisytiharkan
Segala perkara yang dilakukan oleh mana-mana orang atau pihak berkuasa bagi pihak Lembaga pada atau bagi menyediakan pelaksanaan yang sepatutnya akan mana-mana daripada peruntukan Akta ini dan apa-apa perbelanjaan yang dilakukan berhubungan dengannya pada menjangkakan bahawa Akta ini akan diisytiharkan hendaklah disifatkan sebagai diberikuasa oleh Akta ini; dan segala hak dan obligasi yang diperoleh atau dipertanggungkan bagi pihak Lembaga daripada apa-apa perkara atau apa-apa perbelanjaan yang dilakukan sedemikian hendaklah disifatkan sebagai hak dan obligasi Lembaga apabila Akta ini mula berkuat kuasa.
J ADUAL PERTAMA
[Subseksyen 5(2)]
Terma dan syarat pelantikan, pembatalan dan peletakan jawatan
1. (1) Seseorang anggota Lembaga hendaklah memegang jawatan selama sesuatu tempoh dan tertakluk kepada apa-apa syarat mengikut sebagaimana yang dinyatakan oleh Menteri dalam suratcara pelantikannya.
(2) Pelantikan seseorang anggota boleh pada bila-bila masa dibatalkan oleh Menteri tanpa memberi apa-apa sebab baginya.
(3) Seseorang anggota boleh pada bila-bila masa meletakkan jawatannya melalui surat yang dialamatkan kepada Menteri.
(4) Seseorang anggota hendaklah menumpukan seberapa banyak masa yang perlu bagi menjalankan kewajipannya kepada urusan Lembaga.
Jawatan disifatkan sebagai telah dikosongkan
2. (1) Jawatan seseorang anggota Lembaga hendaklah dikosongkanβ
(a) jika dia mati;
(b) jika telah dibuktikan terhadapnya, atau dia telah disabitkan atas, suatu pertuduhan mengenaiβ
(i) kesalahan berkenaan dengan fraud, kecurangan atau keburukan akhlak;
(ii) kesalahan di bawah mana-mana undang-undang berhubung dengan rasuah; atau
(iii) apa-apa kesalahan lain yang boleh dihukum penjara (hukuman penjara sahaja atau sebagai tambahan kepada denda atau sebagai ganti denda) selama lebih daripada dua tahun;
(c) jika dia menjadi bankrap;
(d) jika dia tidak sempurna akal atau kerana apa-apa sebab lain tidak berupaya menjalankan kewajipannya;
(e) jika dia tidak menghadiri mesyuarat tiga kali berturut-turut tanpa kebenaran Lembaga;
(f) jika sekiranya peletakan jawatannya diterima oleh Menteri; atau
(g) jika pelantikannya dibatalkan.
(2) Jika mana-mana anggota itu terhenti menjadi anggota oleh sebab manamana peruntukan Akta ini, seorang lain hendaklah dilantik untuk menggantikannya mengikut peruntukan yang terpakai bagi anggota itu.
Saraan dan elaun
3. Anggota Lembaga atau mana-mana orang lain hendaklah dibayar apa-apa gaji, saraan atau elaun mengikut sebagaimana yang ditentukan oleh Lembaga selepas berunding dengan Menteri.
Mesyuarat
4. (1) Lembaga hendaklah bermesyuarat sekurang-kurangnya sekali sebulan.
(2) Kuorum bagi Lembaga ialah enam.
(3) Dalam semua mesyuarat Lembaga, Pengerusi atau, jika dia tidak hadir, Timbalan Pengerusi atau, jika kedua-duanya tidak hadir, seorang anggota yang dipilih oleh anggota yang hadir, hendaklah mempengerusikan mesyuarat.
(4) Jika atas apa-apa persoalan yang hendak diputuskan oleh Lembaga bilangan undi sama banyaknya, Pengerusi atau anggota yang mempengerusikan mesyuarat itu adalah berhak memberi undi pemutus selain daripada undi biasanya.
(5) Tertakluk kepada subperenggan (1), (2), (3) dan (4), Lembaga hendaklah menetapkan tatacaranya sendiri.
Lembaga boleh mempelawa orang lain menghadiri mesyuarat
5. Lembaga boleh meminta mana-mana orang (yang bukan anggota Lembaga) menghadiri mana-mana mesyuarat atau perbincangan Lembaga bagi maksud menasihatkannya atas apa-apa perkara yang dibincangkan, tetapi mana-mana orang yang hadir sedemikian tidak berhak mengundi dalam mesyuarat atau perbincangan tersebut itu.
Meterai Perbadanan
6. (1) Lembaga hendaklah mempunyai suatu meterai perbadanan yang mengandungi sesuatu tanda sebagaimana yang diluluskan oleh Lembaga dan meterai itu boleh dari semasa ke semasa dipecahkan, ditukar, diubah dan dibuat baharu mengikut sebagaimana yang difikirkan patut oleh Lembaga.
(2) Sehingga suatu meterai diadakan oleh Lembaga suatu cap mengandungi perkataan βLembaga Kemajuan Johor Tenggaraβ boleh digunakan dan hendaklah disifatkan sebagai meterai perbadanan.
(3) Meterai perbadanan itu atau cap yang tersebut dalam subperenggan (2) hendaklah disimpan dalam jagaan Pengerusi atau mana-mana orang lain yang diberi kuasa oleh Lembaga, dan hendaklah disahkan oleh Pengerusi atau oleh orang yang diberi kuasa itu atau mana-mana pegawai yang diberi kuasa oleh salah seorang daripada mereka dengan bertulis; dan semua surat ikatan, suratan dan surat cara lain yang berupa sebagai dimeteraikan dengan meterai tersebut, disahkan sebagaimana tersebut di atas, hendaklah disifatkan sebagai telah disempurnakan dengan sahnya sehingga dibuktikan sebaliknya:
Dengan syarat bahawa apa-apa suratan atau surat cara yang, jika disempurnakan oleh seseorang yang bukan suatu pertubuhan perbadanan, tidak akan dikehendaki dimeterai dengan meterai itu boleh disempurnakan oleh Lembaga dengan cara demikian itu juga dan mana-mana suratan atau surat cara itu boleh disempurnakan bagi pihak Lembaga oleh mana-mana pegawai atau pekhidmat Lembaga yang diberi kuasa secara am atau khas oleh Lembaga bagi maksud itu.
(4) Meterai perbadanan Lembaga hendaklah diberi pengiktirafan rasmi dan kehakiman.
Penzahiran kepentingan
7. Seseorang anggota Lembaga yang mempunyai, secara langsung atau tidak langsung, dengan sendirinya atau melalui pekongsinya, apa-apa kepentingan dalam sesuatu syarikat atau usaha yang dengannya Lembaga bercadang hendak membuat apa-apa kontrak atau yang mempunyai apa-apa kepentingan dalam mana-mana kontrak itu atau dalam apa-apa perkara yang sedang dibincangkan oleh Lembaga hendaklah menyatakan kepada Lembaga hal dan jenis kepentingannya itu, dan hal yang dinyatakannya itu hendaklah direkodkan dalam minit Lembaga, dan melainkan jika dibenarkan dengan khusus oleh Pengerusi, anggota itu tidak boleh mengambil apa-apa bahagian dalam apa-apa perbincangan atau keputusan Lembaga berhubung dengan kontrak itu.
Minit
8. (1) Lembaga hendaklah mengarahkan supaya minit mengenai segala mesyuarat Lembaga disenggara dan disimpan dalam bentuk yang sepatutnya.
(2) Apa-apa minit yang dibuat mengenai mesyuarat Lembaga, jika ditandatangani dengan sempurnanya, boleh diterima sebagai keterangan dalam segala pembicaraan undang-undang tanpa dibuktikan selanjutnya dan tiap-tiap mesyuarat Lembaga yang minit mengenai perjalanannya telah dibuat sedemikian hendaklah disifatkan sebagai telah dipanggil dan diadakan dengan sempurnanya dan semua anggota dalam mesyuarat itu sebagai telah berkelayakan dengan sepatutnya untuk bertindak.
Kesahan perbuatan dan tindakan
9. Tiada apa-apa perbuatan yang dilakukan atau tiada apa-apa prosiding yang diambil di bawah Akta ini boleh dipersoal atas alasanβ
(a) bahawa ada apa-apa kekosongan di kalangan anggota, atau sesuatu kecacatan dalam keanggotaan, Lembaga;
(b) bahawa ada sesuatu yang bersalahan pada mana-mana anggota Lembaga berhubung dengan kenyataan yang dibuat olehnya mengenai kepentingannya; atau
(c) bahawa ada apa-apa peninggalan, kecacatan atau luar aturan yang tidak menyentuh merit sesuatu perkara.