s 23B Tatatertib pelajar Universiti
(1) Naib Canselor hendaklah mempunyai kuasa tatatertib ke atas tiap-tiap pelajar. (2) Naib Canselor hendaklah mempunyai kuasa untuk mengambil tindakan tatatertib dan mengenakan apa-apa hukuman tatatertib yang diperuntukkan di bawah kaedah-kaedah yang dibuat di bawah seksyen 35. CATATAN—Seksyen 23b yang telah dimasukkan melalui seksyen 30 Akta Institut Teknologi MARA (Pindaan) 1996 [Akta A964] masih belum berkuat kuasa—lihat P.U. (B) 461/1996 (3) Naib Canselor boleh mewakilkan mana-mana kuasa, kewajipan atau fungsi tatatertibnya kepada mana-mana anggota kakitangan, atau kepada mana-mana lembaga anggota kakitangan, berkenaan dengan mana-mana pelajar tertentu, atau mana-mana golongan atau kategori pelajar Universiti: Dengan syarat bahawa tiada pewakilan boleh dibuat di bawah subseksyen ini kepada mana-mana anggota kakitangan sebagaimana yang diarahkan secara bertulis oleh Menteri. (4) Anggota kakitangan atau lembaga anggota kakitangan yang kepadanya kuasa, kewajipan atau fungsi di bawah subseksyen (3) telah diwakilkan hendaklah menjalankan, menunaikan atau melaksanakannya di bawah arahan dan kawalan Naib Canselor yang hendaklah mempunyai kuasa untuk mengkaji semula, membatalkan atau mengubah apa-apa keputusan atau dapatan anggota kakitangan atau lembaga anggota kakitangan itu. (5) Mana-mana pelajar yang tidak berpuas hati dengan keputusan— (a) Naib Canselor; atau (b) mana-mana orang atau lembaga yang diwakilkan dengan kuasa, kewajipan atau fungsi di bawah subseksyen (3), boleh merayu terhadap keputusan itu kepada Menteri dan Menteri boleh, jika difikirkannya patut, menolak terus rayuan itu. (6) Jika Menteri tidak menolak terus rayuan itu di bawah subseksyen (5), dia hendaklah melantik suatu jawatankuasa yang terdiri daripada dua orang atau lebih, dari dalam atau luar Universiti, untuk menimbangkan rayuan itu dan membuat syornya kepada Menteri dan, apabila syor itu diterima, Menteri bolehlah memberikan apa-apa keputusan mengenai rayuan itu sebagaimana yang difikirkannya sesuai dan patut.