JADUAL PERTAMA
[Seksyen 5]
PERUNTUKAN TAMBAHAN YANG BERHUBUNGAN DENGAN LEMBAGA, BANK, DAN PEGAWAI UTAMA BANK
Keanggotaan Lembaga
1. (1) Lembaga hendaklah terdiri daripada seorang Pengerusi dan tidak kurang daripada enam dan tidak lebih daripada sembilan orang ahli lain.
(2) Menteri boleh melantik Pengerusi dan ahli-ahli Lembaga yang lain.
Tempoh jawatan dan perkara yang bersampingan dengan jawatan pengarah
2. (1) Pelantikan Pengerusi dan pengarah lain hendaklah selama tempoh tidak melebihi dua tahun, tetapi mana-mana orang yang dilantik sedemikian layak untuk dilantik semula.
(2) Menteri boleh pada bila-bila masa membatalkan mana-mana pelantikan yang dibuat di bawah subperenggan (1) tanpa memberikan apa-apa sebab bagi pembatalan itu.
(3) Pengerusi dan pengarah lain hendaklah dibayar oleh Bank apa-apa saraan dan elaun yang ditetapkan oleh Menteri dengan persetujuan Menteri Kewangan.
(4) Dalam masa Pengerusi atau mana-mana pengarah lain tidak hadir atau tidak berupaya kerana apa-apa sebab, Menteri boleh melantik seorang lain untuk menjadi Pengerusi atau pengarah sementara, mengikut mana-mana yang berkenaan.
(5) Tanpa menjejaskan subperenggan (2), Menteri hendaklah membatalkan pelantikan Pengerusi atau mana-mana pengarah lain jika dia—
(a) telah bersalah atas perbuatan salah laku yang serius berhubung dengan jawatannya;
(b) telah tidak menghadiri, kecuali dengan kebenaran, mesyuarat Lembaga tiga kali berturut-turut; atau
(c) tidak menunaikan kewajipannya di bawah Akta ini, *Akta Koperasi 1993, kaedah-kaedah yang dibuat di bawahnya, atau undang-undang kecil Bank.
* CATATAN- Akta Koperasi 1993 [Akta 502] telah memansuhkan Akta Koperasi 1948 [Akta 287] - lihat perenggan 95(1)(a) Akta 502.
(6) Seseorang hilang kelayakannya daripada dilantik atau terus menjadi seorang Pengerusi atau pengarah jika dia—
(a) tidak sempurna akal atau pun tidak berupaya menjalankan kewajipannya;
(b) telah melakukan suatu perbuatan kebankrapan sebagaimana yang diperuntukkan dalam Akta Kebankrapan 1967 [Akta 360]; atau
(c) telah disabitkan di dalam Malaysia atas suatu kesalahan dan dijatuhi hukuman pemenjaraan selama tempoh tidak kurang daripada dua belas bulan, atau atas suatu kesalahan yang melibatkan fraud, kecurangan, atau keburukan akhlak.
Pengarah Urusan dan Pengurus Besar
3. (1) Lembaga boleh, dengan persetujuan Menteri melantik seorang daripada pengarah menjadi Pengarah Urusan dan seorang atau beberapa orang lain, yang bukan pengarah, menjadi Pengurus Besar, atas terma dan syarat yang ditetapkan oleh Lembaga dengan kelulusan Menteri yang diberikan dengan persetujuan Menteri Kewangan.
(2) Kuasa, kewajipan, dan tanggungjawab Pengarah Urusan dan Pengurus Besar hendaklah, tertakluk kepada Akta ini, sebagaimana yang ditentukan oleh Lembaga.
(3) Pengarah Urusan dan tiap-tiap Pengurus Besar ialah pekerja sepenuh masa Bank dan hendaklah menumpukan segala perhatian mereka sepenuhnya kepada perkhidmatan Bank dan hendaklah bertanggungjawab kepada Lembaga atas perbuatan dan keputusan mereka.
Setiausaha Bank
4. (1) Lembaga hendaklah melantik seorang Setiausaha Bank atas terma dan syarat yang diluluskan oleh Lembaga.
(2) Setiausaha hendaklah juga berkhidmat sebagai setiausaha kepada Lembaga.
Mesyuarat Lembaga
5. (1) Dalam mana-mana mesyuarat Lembaga, Pengerusi atau, jika Pengerusi tidak hadir, seorang pengarah yang dipilih oleh pengarah yang hadir dalam mesyuarat itu hendaklah mempengerusikan mesyuarat itu.
Bank Kerjasama Rakyat Malaysia Berhad (Peruntukan Khas) 31
(2) Lembaga hendaklah bermesyuarat seberapa kerap yang perlu tetapi kekerapan tidak boleh kurang daripada sekali sebulan.
(3) Setiausaha hendaklah memanggil suatu mesyuarat Lembaga jika diarahkan berbuat demikian oleh Pengerusi atau jika dia menerima permintaan secara bertulis supaya berbuat demikian daripada sekurang-kurangnya tiga orang pengarah.
(4) Kecuali sebagaimana yang diperuntukkan dalam subperenggan (5), Setiausaha hendaklah menyebabkan notis setiap mesyuarat Lembaga disampaikan kepada semua pengarah yang berada di dalam Malaysia sekurang-kurangnya tiga hari genap sebelum tarikh mesyuarat itu.
(5) Jika suatu mesyuarat Lembaga terpaksa dipanggil dengan segera, walau apa pun subperenggan (4), mencukupi jika notis diberikan dengan seberapa awal yang boleh sama ada secara bertulis atau secara lisan, termasuk dengan telefon atau telegram.
(6) Empat ahli Lembaga yang hadir dalam sesuatu mesyuarat, termasuk orang yang mempengerusikan mesyuarat itu, hendaklah membentuk suatu kuorum.
(7) Jika dalam masa setengah jam dari masa yang ditetapkan untuk mengadakan sesuatu mesyuarat Lembaga, tiada kuorum, mesyuarat itu hendaklah ditangguhkan kepada hari yang berikutnya pada masa dan di tempat yang sama, dan jika dalam masa lima belas minit dari masa yang ditetapkan untuk mengadakan mesyuarat tangguhan itu tiada kuorum, pengarah yang hadir hendaklah menjadi kuorum.
(8) Kecuali jika diperuntukkan selainnya dalam Akta ini, semua keputusan dalam suatu mesyuarat Lembaga hendaklah diterima pakai melalui undi lebih suara pengarah yang hadir dan mengundi, tetapi jika mengenai apa-apa soal undi sama banyaknya, orang yang mempengerusikan mesyuarat itu berhak memberi suatu undi pemutus.
Tahun kewangan
6. Tahun kewangan Bank hendaklah bermula pada 1 Januari dan berakhir pada 31 Disember.
Penzahiran kepentingan
7. (1) Seseorang pengarah yang mempunyai, secara langsung atau secara tidak langsung, apa-apa kepentingan dalam apa-apa perkara atau urusan yang sedang atau akan dibincangkan atau dijalankan dalam mana-mana mesyuarat Lembaga, iaitu suatu kepentingan yang bercanggah atau mungkin akan bercanggah dengan tugas dan fungsinya sebagai pengarah, hendaklah, dalam mesyuarat itu, menzahirkan
jenis kepentingannya itu sebelum perkara atau urusan itu dibincangkan atau dijalankan atau apabila sahaja dia tahu kepentingannya mengenai perkara atau urusan itu.
(2) Penzahiran di bawah subperenggan (1) hendaklah direkodkan dalam minit mesyuarat itu.
(3) Selepas penzahiran itu, pengarah itu tidak boleh hadir seterusnya dalam mesyuarat itu, atau layak bagi maksud kuorum, selagi perkara atau urusan yang berkenaan itu dibincangkan atau dijalankan, dan juga dia tidak boleh mengambil bahagian dalam perbincangan atau transaksi perkara atau urusan itu.
(4) Seseorang yang melanggar atau tidak mematuhi subperenggan (1) atau (3) melakukan suatu kesalahan dan, apabila disabitkan, boleh didenda tidak melebihi lima ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya.
(5) Tiada perbuatan, urusan, atau keputusan Lembaga boleh menjadi tidak sah atas alasan pelanggaran subperenggan (1) atau (3) oleh seseorang pengarah.
Bank Kerjasama Rakyat Malaysia Berhad (Peruntukan Khas) 33