Kuasa untuk membuat kaedah-kaedah
Majlis boleh, dengan kelulusan Menteri, membuat kaedah-kaedah—
(a) menetapkan sukatan pelajaran sesuatu peperiksaan tertentu;
(b) menetapkan syarat masuk dan penganugerahan berkenaan dengan sesuatu peperiksaan tertentu;
(c) mengenai kelakuan calon semasa berlangsungnya sesuatu peperiksaan tertentu dan bagi mengadakan peruntukan mengenai perbuatan salah laku, seperti menipu dan menyamar, dan cara bertindak terhadap orang yang terlibat dalam perbuatan salah laku itu;
(d) menetapkan fi atau caj bagi mana-mana peperiksaan yang dikelolakan oleh Majlis;
(e) menetapkan fi yang akan dibayar kepada pemeriksa, pengawas peperiksaan dan orang lain yang terlibat mengelola sesuatu peperiksaan tertentu;
(f) menetapkan cara membuat rayuan bagi mentafahus keputusan sesuatu peperiksaan tertentu;
(g) mengawal terma dan syarat perkhidmatan pegawai dan pekhidmat Majlis dan bagi mengadakan peruntukan mengenai tatatertib mereka; dan
(h) amnya bagi menjalankan peruntukan Akta ini dengan lebih baik.
Jadual Pertama
[Seksyen 2]
PEPERIKSAAN TERTENTU
1. Peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia atau, dalam bahasa Inggeris, the Malaysia Higher School Certificate Examination.
2. *Malaysian University English Test.
Jadual Kedua
[Subseksyen 4 (4)]
PERUNTUKAN TAMBAHAN BERKAITAN DENGAN MAJLIS
Syarat pelantikan anggota lantikan
1. (1) Seseorang anggota lantikan Majlis hendaklah, melainkan jika pelantikannya terlebih dahulu dibatalkan atau dia terlebih dahulu meletakkan jawatan, memegang jawatan selama apa-apa tempoh, tidak melebihi tiga tahun, sebagaimana yang ditetapkan oleh Yang di-Pertuan Agong dalam surat cara pelantikannya.
(2) Seseorang anggota itu boleh dilantik semula apabila tamat tempoh jawatannya.
(3) Pelantikan mana-mana anggota itu boleh pada bila-bila masa dibatalkan oleh Yang di-Pertuan Agong tanpa memberi apa-apa sebab mengenainya.
(4) Seseorang anggota itu boleh pada bila-bila masa meletak jawatannya dengan mengutus surat kepada Yang di-Pertuan Agong.
Mengosongkan jawatan
2. Jawatan seseorang anggota lantikan Majlis hendaklah dikosongkan—
(a) jika anggota itu mati;
(b) jika telah dibuktikan terhadap anggota itu, atau anggota itu telah disabitkan atas, sesuatu pertuduhan mengenai—
(i) kesalahan berkenaan dengan fraud, kecurangan atau keburukan akhlak;
(ii) kesalahan di bawah mana-mana undang-undang berhubung *CATATAN—Majlis Peperiksaan Malaysia bertanggungjawab untuk mengelolakan Peperiksaan “Malaysian University English Test” mulai tahun 1999. Lihat—P.U. (A) 270/1999 m.b.p. 6 Januari 1999.
dengan rasuah; atau
(iii) apa-apa kesalahan lain yang boleh dikenakan hukum penjara selama lebih daripada dua tahun;
(c) jika anggota itu menjadi bankrap;
(d) jika anggota itu tidak sempurna akal atau kerana apa-apa sebab lain tidak berupaya melaksanakan tugas-tugasnya;
(e) jika anggota itu tidak menghadiri mesyuarat tiga kali berturut-turut tanpa kebenaran Pengerusi;
(f) sekiranya peletakan jawatan anggota itu disetuju terima oleh Yang di-Pertuan Agong; atau
(g) jika pelantikan anggota itu dibatalkan.
Saraan dan elaun
3. Maka hendaklah dibayar kepada anggota Majlis dan anggota jawatankuasa dan jawatankuasa kecil yang dilantik di bawah Akta ini apa-apa saraan atau elaun yang ditetapkan oleh Majlis dengan kelulusan Menteri.
Mesyuarat
4. (1) Majlis hendaklah bermesyuarat sekurang-kurangnya sekali dalam masa tiap-tiap enam bulan.
(2) Kuorum bagi Majlis ialah tujuh.
(3) Pengerusi atau jika dia tidak hadir, seorang anggota, yang hendaklah seorang Naib Canselor Universiti, yang dilantik oleh anggota yang hadir hendaklah mempengerusikan semua mesyuarat Majlis.
(4) Jika mengenai apa-apa soal yang hendak ditentukan oleh Majlis terdapat bilangan undi yang sama banyak, Pengerusi atau anggota yang mempengerusikan mesyuarat itu hendaklah mempunyai undi pemutus sebagai tambahan kepada undi biasanya.
(5) Tertakluk kepada subperenggan (1), (2), (3) dan (4), Majlis boleh menetapkan tatacaranya sendiri.
Minit
5. Majlis hendaklah menyebabkan minit semua mesyuaratnya disenggara dan disimpan dalam bentuk yang sepatutnya.
UNDANG-UNDANG MALAYSIA