s 7B Menahan penghantarserahan bahan Al-Qur’an yang diimport
(1) Mana-mana pegawai polis yang berpangkat tidak rendah daripada Inspektor atau mana-mana pegawai awam yang diberi kuasa secara bertulis oleh Majlis Agama Islam sesuatu Negeri atau Wilayah Persekutuan, boleh menahan penghantarserahan sesuatu bahan Al-Qur’an yang diimport jika dia mempunyai sebab yang munasabah untuk mempercayai bahawa ia mengandungi apa-apa kesilapan atau ia tidak mengikut kaedah penulisan yang ditentukan oleh Lembaga berkenaan dengan Ayat-Ayat Al-Qur’an yang terkandung di dalam bahan Al-Qur’an itu. (2) Sesuatu bahan Al-Qur’an yang ditahan di bawah subseksyen (1) hendaklah, dengan seberapa segera yang praktik, diserahkan kepada Lembaga dan diteliti oleh Lembaga. (3) Jika Lembaga memperakui bahawa bahan Al-Qur’an itu— (a) betul dan mengikut kaedah penulisan yang ditentukan oleh Lembaga berkenaan dengan Ayat-Ayat Al-Qur’an yang terkandung di dalamnya, Lembaga hendaklah membenarkan pengimportan dan memberikan notis secara bertulis kepada orang yang daripadanya bahan Al-Qur’an itu ditahan menghendaki orang itu untuk menuntut atau mengambil bahan Al-Qur’an itu tidak lewat daripada enam bulan dari tarikh notis itu; atau (b) mengandungi apa-apa kesilapan atau tidak mengikut kaedah penulisan yang ditentukan oleh Lembaga berkenaan dengan Ayat-Ayat Al-Qur’an yang terkandung di dalamnya, Lembaga hendaklah melarang pengimportan dan memberikan notis secara bertulis kepada orang yang daripadanya bahan Al-Qur’an itu ditahan menghendaki orang itu untuk mengembalikan bahan Al-Qur’an itu kepada pengirimnya di luar Malaysia tidak lewat daripada tiga bulan dari tarikh notis itu. (4) Jika orang yang daripadanya bahan Al-Qur’an itu ditahan gagal untuk menuntut atau mengambil bahan Al-Qur’an itu dalam masa enam bulan dari tarikh notis di bawah perenggan (3)(a) atau gagal untuk mengembalikan bahan Al-Qur’an itu kepada pengirimnya di luar Malaysia dalam masa tiga bulan dari tarikh notis di bawah perenggan (3)(b), mengikut mana-mana yang berkenaan, bahan Al-Qur’an itu hendaklah dilupuskan mengikut apa-apa cara yang difikirkan patut oleh Lembaga.