s 50A Pembangunan kod oleh Suruhanjaya dan pematuhan baginya
(1) Suruhanjaya boleh, dengan kelulusan Menteri, membangunkan dan mengeluarkan kod yang berhubungan dengan penjanakuasaan, penghantaran, pengagihan, pembekalan dan penggunaan elektrik dan bagi keselamatan elektrik. (2) Suruhanjaya boleh membangunkan dan mengeluarkan apa-apa kod tambahan sebagaimana yang disifatkannya patut dan suai manfaat atau sebagaimana yang diarahkan oleh Menteri dari semasa ke semasa, mengikut mana-mana yang berkenaan. (3) Semua kod yang dibangunkan dan dikeluarkan menurut seksyen ini hendaklah berkuat kuasa hanya apabila didaftarkan oleh Suruhanjaya. (4) Semua pemegang lesen, pemunya atau pengendali pepasangan elektrik bukan domestik hendaklah mematuhi kod itu. (5) Melainkan jika ditentukan selainnya oleh Suruhanjaya, dalam memastikan kebolehpercayaan, keselamatan dan keterjaminan rangkaian elektrik, kod yang dikeluarkan di bawah seksyen ini hendaklah mengatasi mana-mana perjanjian yang mungkin wujud antara pihak-pihak yang disebut dalam subseksyen (4).