s 9C Standard prestasi pembekalan dan perkhidmatan oleh pemegang lesen
(1) Suruhanjaya boleh, dari semasa ke semasa, mengeluarkan kod, garis panduan atau arahan mengenai apa-apa standard prestasi pembekalan dan perkhidmatan untuk dilaksanakan oleh pemegang lesen termasuk tatacara bagi— (a) memenuhi dengan munasabah kehendak pengguna; (b) pengendalian aduan dan pertikaian pengguna; (c) tatacara bagi pampasan pengguna dalam hal pelanggaran standard prestasi atau pelanggaran mana-mana obligasi pemegang lesen di bawah Akta; dan (d) perlindungan maklumat pengguna. (2) Apa-apa tindakan yang diambil oleh Suruhanjaya menurut seksyen ini berkenaan dengan apa-apa kegagalan oleh mana-mana pemegang lesen untuk memenuhi standard yang disebut dalam subseksyen (1), tidak boleh menjejaskan atau menyentuh apa-apa remedi lain yang mungkin ada berkenaan dengan tindakan atau peninggalan oleh pemegang lesen yang menjadi kegagalan itu di bawah mana-mana undang-undang lain, termasuk Akta Perlindungan Pengguna 1999 [Akta 599]. (3) Suruhanjaya boleh mengarahkan pemegang lesen untuk menyediakan apa-apa maklumat tentang tahap prestasi yang dicapai dan perkhidmatan yang disediakan berkenaan dengan standard yang disebut dalam subseksyen (1) kepada pengguna atau bakal pengguna. (4) Pemegang lesen hendaklah menyiarkan standard perkhidmatan penggunanya sendiri mengikut kod, garis panduan atau arahan yang disebut dalam subseksyen (1). (5) Mana-mana pemegang lesen yang melanggar seksyen ini melakukan suatu kesalahan.