s 31F Pembatalan pendaftaran
(1) Ketua Pengarah boleh membatalkan pendaftaran orang kompeten atau penyedia latihan berdaftar jika Ketua Pengarah berpuas hati bahawa dia— (a) telah gagal untuk mematuhi mana-mana peruntukan Akta ini atau mana-mana perundangan subsidiari yang dibuat di bawah Akta ini; (b) telah gagal untuk mematuhi mana-mana syarat yang dikenakan ke atas pendaftaran; (c) telah mendapatkan atau memperoleh pendaftarannya dengan fraud atau salah nyataan; atau (d) tidak lagi sesuai untuk bertindak sebagai orang kompeten atau penyedia latihan berdaftar. (2) Walau apa pun subseksyen (1), Ketua Pengarah tidak boleh membatalkan pendaftaran orang kompeten atau penyedia latihan berdaftar melainkan jika Ketua Pengarah berpuas hati bahawa, setelah memberi orang kompeten atau penyedia latihan berdaftar itu suatu peluang untuk membuat apa-apa representasi secara bertulis yang dihasratkannya untuk dibuat, pendaftaran itu patut dibatalkan. (3) Jika pendaftaran orang kompeten atau penyedia latihan berdaftar dibatalkan, Ketua Pengarah hendaklah mengeluarkan suatu notis pembatalan pendaftaran kepada orang kompeten atau penyedia latihan berdaftar itu, dan pembatalan itu berkuat kuasa pada tarikh yang dinyatakan dalam notis itu.