Tajuk ringkas, pemakaian dan permulaan kuat kuasa
(1) Akta ini bolehlah dinamakan Akta Pengurusan Danaharta Nasional Berhad 1998.
(2) Akta ini hendaklah terpakai di seluruh Malaysia.
(3) Akta ini mula berkuat kuasa pada tarikh yang ditetapkan oleh Menteri melalui pemberitahuan dalam Warta; dan Menteri boleh menetapkan tarikh yang berlainan bagi mula berkuatkuasanya peruntukan yang berlainan dalam Akta ini di bahagian yang berlainan di Malaysia.
Tafsiran
1. Dalam Akta ini, melainkan jika konteksnya menghendaki makna yang lain—
“aset” termasuklah apa-apa kemudahan kredit, harta dan perniagaan atau perusahaan dalam apa-apa bentuk;
“Bank Negara” ertinya Bank Negara Malaysia yang ditubuhkan oleh Akta Bank Negara Malaysia 1958 [Akta 519];
“bank saudagar” mempunyai erti yang diberikan kepadanya dalam Akta Bank dan Institusi-Institusi Kewangan 1989 [Akta 372];
“buku” termasuklah daftar, dokumen, akaun atau rekod perakaunan, tidak kira bagaimana sekalipun disusun, direkodkan atau disimpan, dan apa-apa rekod maklumat yang lain;
“cagaran” termasuklah gadai janji atau gadaian, sama ada di sisi undang-undang atau ekuiti, debentur, bil pertukaran, nota janji hutang, jaminan, lien atau sandaran, sama ada sebenar atau konstruktif, hipotekasi, tanggung rugi, aku janji atau cara-cara lain untuk menjamin pembayaran atau penunaian hutang atau tanggungan, sama ada pada masa sekarang atau pada masa hadapan, atau sama ada terletak hak atau kontinjen;
“depositori pusat” mempunyai erti yang diberikan kepadanya dalam Akta Perindustrian Sekuriti (Depositori Pusat) 1991 [Akta 453];
“ejen depositori diberi kuasa” mempunyai erti yang diberikan kepadanya dalam Akta Perindustrian Sekuriti (Depositori Pusat) 1991;
“harta” ertinya mana-mana harta alih atau tak alih dan termasuklah—
(a) apa-apa hak, kepentingan, hakmilik, tuntutan, hak dalam tindakan, kuasa atau keistimewaan, sama ada pada masa sekarang atau pada masa hadapan, atau sama ada terletak hak atau kontinjen;
(b) apa-apa dokumen pemindahhakan yang disempurnakan bagi memindahhakkan, menyerahakkan, menguntukkan, menyerahkan atau selainnya memindahkan atau melupuskan harta alih atau harta tak alih;
(c) apa-apa sekuriti, termasuk apa-apa saham, syer, debentur, bon, stok pinjaman, hak memohon beli yang boleh dipindahkan atau waran;
(d) apa-apa surat cara boleh niaga, termasuk apa-apa wang kertas, nota pembawa, bil pertukaran, nota janji hutang, cek dan perakuan deposit boleh niaga;
(e) apa-apa gadai janji atau gadaian, sama ada di sisi undang-undang atau ekuiti, jaminan, lien atau sandaran, sama ada sebenar atau konstruktif, surat hipotekasi atau resit amanah, tanggung rugi, aku janji atau cara-cara lain untuk menjamin pembayaran atau penunaian sesuatu hutang atau tanggungan, sama ada
pada masa sekarang atau pada masa hadapan, atau sama ada terletak hak atau kontinjen; dan
(f) apa-apa harta ketara atau tidak ketara yang lain;
“institusi berlesen” mempunyai erti yang diberikan kepadanya dalam Akta Bank dan Institusi-Institusi Kewangan 1989 [Akta 372];
“kemudahan kredit” ertinya—
(a) pemberian apa-apa pendahuluan, pinjaman atau kemudahan lain dalam apa jua bentuk atau dengan apa jua nama disebut yang menurutnya orang yang diberi pendahuluan, pinjaman atau kemudahan lain itu mempunyai akses, secara langsung atau secara tidak langsung, pada wang orang yang memberinya dan hendaklah termasuk tanpa had, apa-apa perkiraan jualan dan belian balik, perjanjian sewa beli, perkiraan pajakan, perkiraan usaha sama, perdagangan hutang, jaminan, jualan bayaran tertangguh, perkiraan kewangan lain yang dibuat mengikut konsep perbankan Islam dalam apa jua bentuk atau dengan apa jua nama;
(b) pemberian suatu jaminan berhubungan dengan kewajipan mana-mana orang; atau
(c) apa-apa urusan atau urus niaga lain sebagaimana yang ditetapkan oleh Bank Negara di bawah seksyen 2 Akta Bank dan Institusi-Institusi Kewangan 1989;
“kepentingan berdaftar” ertinya apa-apa hak atau kepentingan mengenai—
(a) suatu gadaian yang baginya subseksyen 108(3) Akta Syarikat 1965 [Akta 125] terpakai dan yang didaftarkan dengan sewajarnya mengikut subseksyen 108(1) Akta Syarikat 1965; atau
(b) tanah yang didaftarkan dengan sewajarnya di bawah Akta Hakmilik Strata 1985, Kanun Tanah Negara, Ordinan Tanah Sabah atau Kanun Tanah Sarawak;
“kepentingan mengenai tanah” ertinya—
(a) apa-apa kepentingan mengenai tanah, sama ada berdaftar atau boleh didaftarkan, termasuk kepentingan yang baginya Akta Hakmilik Strata 1985 [Akta 318] terpakai dan yang boleh dipindahmilikkan di bawah Bahagian Empat Belas Kanun Tanah Negara [Akta 56/65] atau Bahagian V Ordinan Tanah Sabah [Sabah Cap. 68] atau Bahagian VI Kanun Tanah Sarawak [Sarawak Cap. 81];
(b) apa-apa kaveat pemegang lien atau kaveat lain; dan
(c) apa-apa hak dan kelayakan lain yang berhubungan dengan tanah;
“kewajipan yang didedahkan” berkenaan dengan aset yang diperoleh di bawah Bahagian V berhubungan dengan—
(a) seksyen 13 hingga 18 ertinya sesuatu kewajipan atau tanggungan yang terhutang kepada penanggung kewajipan oleh penjual di bawah atau berkenaan dengan aset itu dan yang kewajipan atau tanggungan itu didedahkan oleh penjual kepada Perbadanan secara bertulis sebelum tarikh peletakhakan;
(b) seksyen 19 ertinya sesuatu kewajipan atau tanggungan yang terhutang kepada penanggung kewajipan oleh Perbadanan di bawah atau berkenaan dengan aset itu dan yang berkewajipan atau tanggungan itu didedahkan oleh Perbadanan kepada pemeroleh secara bertulis sebelum tarikh yang ditentukan dalam perakuan pindah milik;
“Lembaga” ertinya lembaga pengarah Perbadanan;
“Menteri” ertinya Menteri yang pada masa ini dipertanggungkan dengan tanggungjawab bagi kewangan;
“Menteri Kewangan” ertinya Menteri Kewangan yang diperbadankan di bawah Akta Menteri Kewangan (Pemerbadanan) 1957 [Akta 375];
“pemeroleh” ertinya mana-mana orang yang kepadanya Perbadanan melupuskan sesuatu aset di bawah seksyen 19;
“pemiutang” ertinya mana-mana orang yang kepadanya orang terjejas terhutang suatu tanggungan;
“penanggung kewajipan” ertinya mana-mana orang yang mempunyai tanggungjawab atau kewajipan dalam apa-apa bentuk, sama ada pada masa sekarang atau pada masa hadapan, atau sama ada terletak hak atau kontinjen, kepada penjual di bawah atau berkenaan dengan sesuatu aset, termasuk tanpa had, seseorang penanggung kewajipan di bawah suatu kemudahan kredit, cagaran atau hak dalam tindakan yang lain;
“Penasihat Bebas” ertinya seseorang yang dilantik di bawah seksyen 26;
“Pendaftar tanah” ertinya Pendaftar di bawah Kanun Tanah Negara, Pendaftar di bawah Ordinan Tanah Sabah atau Pendaftar di bawah Kanun Tanah Sarawak , mengikut mana-mana yang berkenaan;
“penjual” ertinya seseorang yang daripadanya Perbadanan memperoleh sesuatu aset;
“Pentadbir Khas” ertinya seseorang yang dilantik di bawah seksyen 23 atau 24;
“perakuan peletakhakan” ertinya perakuan yang dikeluarkan di bawah seksyen 14 dan termasuklah perakuan peletakhakan gantian yang dikeluarkan di bawah seksyen 14A;
“perakuan pindah milik” ertinya perakuan yang dikeluarkan di bawah seksyen 19 dan termasuklah perakuan pindah milik gantian yang dikeluarkan di bawah seksyen 19A;
“Perbadanan” ertinya Pengurusan Danaharta Nasional Berhad;
“perniagaan” ertinya apa-apa aktiviti yang dijalankan bagi maksud keuntungan dan termasuklah semua harta yang terbit daripada, atau digunakan dalam atau bagi maksud, menjalankan aktiviti sedemikian dan semua hak dan tanggungan yang berbangkit daripada aktiviti sedemikian;
“skim amanah saham” ertinya apa-apa perkiraan yang dilakukan bagi maksud, atau yang mempunyai kesan, menyediakan kemudahan
bagi penyertaan orang-orang sebagai benefisiari di bawah suatu amanah dalam keuntungan atau pendapatan yang berbangkit daripada pemerolehan, pemegangan, pengurusan atau pelupusan debentur, saham atau syer sesuatu syarikat atau apa-apa harta lain;
“subsidiari” –
(a) mempunyai erti yang diberikan kepadanya dalam Akta Syarikat 1965; dan
(b) termasuklah suatu skim yang melibatkan suatu kepentingan di bawah seksyen 84 Akta Syarikat 1965 dan suatu skim amanah saham yang dalamnya Perbadanan mempunyai lebih daripada lima puluh peratus daripada kuasa mengundi atau lebih daripada lima puluh peratus daripada kepentingan yang diterbitkan, mengikut mana-mana yang berkenaan;
“syarikat” ertinya syarikat yang diperbadankan di bawah Akta Syarikat 1965 dan termasuklah suatu perbadanan mengikut pengertian yang diberikan kepada “perbadanan” di bawah Akta Syarikat 1965;
“tanggungan” termasuklah hutang dan kewajipan dalam apa jua bentuk, sama ada pada masa sekarang atau pada masa hadapan, atau sama ada terletak hak atau kontinjen;
“tarikh peletakhakan” ertinya tarikh yang dinyatakan pada perakuan peletakhakan sebagai tarikh yang padanya sesuatu aset terletak hak pada Perbadanan atau subsidiari, mengikut mana-mana yang berkenaan;
“tuntutan” ertinya apa-apa tuntutan, pembelaan, tuntutan balas, tolakan, ekuiti, tindakan, prosiding undang-undang atau kepentingan ekuiti dalam apa-apa bentuk yang berhubungan dengan atau berbangkit daripada sesuatu aset oleh penanggung kewajipan atau mana-mana pihak ketiga terhadap penjual atau berkenaan dengan aset itu, sama ada yang terletak hak atau kontinjen, pada masa sekarang atau pada masa hadapan;
“tuntutan yang didedahkan” berhubungan dengan—
(a) seksyen 13 hingga 18 ertinya apa-apa tuntutan khusus yang didedahkan kepada Perbadanan secara bertulis sebelum tarikh peletakhakan;
(b) seksyen 19 ertinya apa-apa tuntutan khusus yang didedahkan oleh Perbadanan kepada pemeroleh secara bertulis sebelum tarikh yang ditentukan dalam perakuan pindah milik.