Peruntukan peralihan bagi eksekutif kewangan korporat dan penganalisis kajian
(1) Seseorang eksekutif kewangan korporat—
(a) yang diambil kerja oleh suatu syarikat pembrokeran saham dan yang berdaftar dengan Suruhanjaya menurut Garis Panduan Suruhanjaya bagi Peniaga dan Wakil Peniaga di bawah Akta Perindustrian Sekuriti 1983 yang dimansuhkan; atau
(b) yang diambil kerja oleh suatu bank saudagar berlesen yang memegang lesen peniaga di bawah Akta Perindustrian Sekuriti 1983 yang dimansuhkan,
sebaik sebelum tarikh kuat kuasa hendaklah, dari tarikh berkuat kuasa, disifatkan memegang Lesen Wakil Perkhidmatan Pasaran Modal untuk menjalankan aktiviti terkawal menasihati kewangan korporat.
(2) Seorang penganalisis kajian—
(a) yang diambil kerja oleh suatu syarikat pembrokeran saham dan yang berdaftar dengan Suruhanjaya menurut Garis Panduan Suruhanjaya bagi Peniaga dan Wakil-wakil Peniaga di bawah Akta Perindustrian Sekuriti 1983 yang dimansuhkan; atau
(b) yang diambil kerja oleh suatu bank saudagar berlesen yang memegang lesen peniaga di bawah Akta Perindustrian Sekuriti 1983 yang dimansuhkan,
sebaik sebelum tarikh kuat kuasa hendaklah, dari tarikh kuat kuasa, disifatkan memegang Lesen Wakil Perkhidmatan Pasaran Modal untuk menjalankan aktiviti terkawal nasihat pelaburan.
(3) Lesen yang disebut dalam subseksyen (1) atau (2), adalah sah bagi tempoh satu tahun dari tarikh kuat kuasa dan tertakluk kepada apa-apa terma dan syarat sebagaimana yang ditentukan oleh Suruhanjaya.
Jadual 1
[Subseksyen 7(4)]
Pasaran saham terkecuali atau pasaran niaga hadapan terkecuali
1. Apa-apa sistem yang memudahkan pemindahan, penjelasan dan penyelesaian dana dan sekuriti hutang tidak tersenarai.
2. Apa-apa sistem yang memudahkan perniagaan dalam sekuriti, termasuk lelong atau belian langsung, jualan, terbitan, pinjaman, peminjaman dan pertukaran sekuriti hutang tidak tersenarai.
3. Apa-apa sistem yang menyediakan maklumat kepada mana-mana orang yang berhubungan dengan pasaran wang atau tender, terbitan, dagangan dan tawaran atau harga bida sekuriti hutang atau apa-apa maklumat berhubung dengan suatu sekuriti hutang tidak tersenarai.
4. Apa-apa sistem untuk pengendalian berpusat sekuriti hutang yang didepositkan dengan Bank Negara melalui kemasukan dalam akaun sekuriti hutang tanpa penghantar serahan fizikal perakuan.
5. Apa-apa sistem untuk menjalankan apa-apa aktiviti lain berhubung dengan mana-mana sistem dalam perenggan 1 hingga 4.
6. Apa-apa sistem bagi penyebaran maklumat yang berhubungan dengan perenggan 1 hingga 5.
Jadual 2
[Subseksyen 2(1) dan 58(1)]
Aktiviti Terkawal
Bahagian 1 — Jenis aktiviti terkawal
1. Berniaga dalam sekuriti.
2. Berdagang dalam kontrak niaga hadapan.
3. Pengurusan kumpulan wang.
4. Menasihati kewangan korporat.
5. Nasihat pelaburan.
6. Perancangan kewangan.
Bahagian 2 — Tafsiran aktiviti terkawal
1. “Berniaga dalam sekuriti” ertinya, sama ada sebagai prinsipal atau ejen—
(a) memperoleh, melupuskan, melanggan atau menaja jamin sekuriti; atau
(b) membuat atau menawarkan untuk membuat dengan mana-mana orang, atau mendorong atau cuba mendorong mana-mana orang supaya membuat atau menawarkan untuk membuat—
(i) apa-apa perjanjian bagi atau dengan tujuan hendak memperoleh, melupuskan, melanggan atau menaja jamin sekuriti; atau
(ii) apa-apa perjanjian, selain suatu kontrak niaga hadapan, yang maksud atau maksud yang diakui baginya adalah untuk mendapatkan suatu keuntungan bagi mana-mana pihak daripada hasil sekuriti atau dengan sebutan mengenai naik turunnya nilai sekuriti.
2. “Berdagang dalam kontrak niaga hadapan” ertinya, sama ada sebagai prinsipal atau ejen, membuat atau menawarkan untuk membuat dengan mana-mana orang, atau mendorong atau cuba mendorong mana-mana orang, atau mensolisit atau menerima apa-apa perintah untuk, atau selainnya—
(a) membuat, atau mengambil sesuatu penyerahhakkan, kontrak niaga hadapan itu, sama ada atau tidak bagi pihak seorang lain;
(b) mengambil atau menyebabkan diambil, tindakan yang menutup kontrak niaga hadapan itu, sama ada atau tidak bagi pihak orang lain; atau
(c) berhubung dengan suatu kontrak niaga hadapan yang merupakan opsyen dagangan bursa layak, sesuatu opsyen niaga hadapan atau perjanjian yang ditetapkan sebagai suatu kontrak niaga hadapan—
(i) yang menjalankan mana-mana opsyen atau hak di bawah kontrak niaga hadapan itu; atau
(ii) yang membenarkan mana-mana opsyen atau hak di bawah kontrak niaga hadapan itu luput,
sama ada atau tidak bagi pihak seorang lain.
3. “Pengurusan kumpulan wang” ertinya mengaku janji bagi pihak mana-mana orang lain, sama ada atas kuasa budi bicara yang diberikan oleh orang itu atau selainnya, untuk menguruskan suatu portfolio sekuriti atau kontrak niaga hadapan.
4. “Menasihati kewangan korporat” ertinya memberi nasihat berkenaan dengan—
(a) pematuhan terhadap atau berkenaan dengan Bahagian VI, apa-apa peraturan dibuat di bawah seksyen 378 dan apa-apa garis panduan yang dikeluarkan di bawah seksyen 377 yang berhubungan dengan mana-mana perkara yang diperuntukkan di bawah Bahagian VI, atau yang berhubungan dengan penjanaan modal oleh mana-mana perbadanan;
(b) pematuhan terhadap kehendak penyenaraian bursa saham yang berhubungan dengan penjanaan modal atau transaksi pihak yang berhubungan;
(c) penyusunan atau pengstrukturan semula perbadanan tersenarai atau anak syarikat perbadanan tersenarai itu mengenai aset atau tanggungannya.
5. “Nasihat pelaburan” ertinya menjalankan sesuatu urusan menasihati orang lain berkenaan dengan sekuriti atau kontrak niaga hadapan atau sebagai sebahagian daripada suatu urusan, mengeluarkan atau memasyhurkan analisis atau laporan dengan sekuriti atau kontrak niaga hadapan.
6. “Perancangan kewangan” ertinya menganalisis hal keadaan kewangan seorang lain dan menyediakan suatu pelan untuk memenuhi kehendak dan objektif kewangan orang lain itu, termasuk apa-apa pelan pelaburan dalam sekuriti, sama ada atau tidak suatu fi dikenakan berhubung dengannya.
Jadual 3 [Subseksyen 58(2)] Orang yang ditentukan
1. Mana-mana syarikat yang didaftarkan di bawah Akta Syarikat Amanah 1949 yang penjalanan mana-mana aktiviti terkawalnya adalah semata-mata bersampingan dengan penjalanan urusannya yang baginya didaftarkan di bawah Akta Syarikat Amanah 1949.
2. Mana-mana peguam bela dan peguam cara yang ditakrifkan di bawah Akta Profesion Undang-Undang [Akta 166] yang menjalankan amalan yang penjalanan aktiviti terkawalnya menasihati kewangan korporat atau perancangan kewangannya adalah semata-mata bersampingan dengan amalan profesionnya.
3. Mana-mana akauntan yang merupakan anggota institut yang ditubuhkan di bawah Akta Akauntan 1967 [Akta 94] yang menjalankan amalan yang penjalanan aktiviti terkawalnya menasihati kewangan korporat atau perancangan kewangannya adalah semata-mata bersampingan dengan amalan profesionnya.
4. Seseorang penilai yang ditakrifkan di bawah Akta Penilai, Pentafsir dan Ejen Harta Tanah 1981 [Akta 242] yang penilaiannya berkenaan dengan aset bagi maksud menasihati kewangan korporat adalah semata-mata bersampingan dengan amalannya sebagai seorang penilai.
5. Mana-mana orang yang merupakan tuan punya sesuatu akhbar dan pemegang permit yang dikeluarkan di bawah Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 [Akta 301] yang penjalanan aktiviti terkawal olehnya nasihat pelaburan melalui akhbar jika—
(a) setakat yang akhbar itu diedarkan amnya kepada orang awam, ia diedarkan hanya kepada pelanggan dan pembeli akhbar itu untuk nilainya;
(b) nasihat itu diberikan atau analisis atau laporan itu dikeluarkan atau dimasyhurkan hanya melalui akhbar itu;
(c) orang itu tidak menerima komisen atau balasan lain kerana mengeluarkan atau memasyhurkan analisis atau laporan itu; dan
(d) nasihat itu diberikan dan analisis dan laporan itu dikeluarkan atau dimasyhurkan semata-mata bersampingan dengan penjalanan urusan orang itu sebagai tuan punya suatu akhbar.
6. Mana-mana orang yang menjalankan aktiviti terkawal nasihat pelaburan melalui penyediaan perkhidmatan maklumat jika—
(a) setakat yang perkhidmatan maklumat itu diedarkan amnya kepada orang awam, ia diedarkan hanya kepada pelanggan dan pembeli perkhidmatan maklumat itu bagi nilai;
(b) nasihat itu diberikan atau analisis atau laporan itu dikeluarkan atau dimasyhurkan hanya melalui perkhidmatan maklumat tu;
(c) orang itu tidak menerima komisen atau balasan lain kerana mengeluarkan atau memasyhurkan analisis atau laporan itu; dan
(d) nasihat itu diberikan dan analisis dan laporan itu dikeluarkan atau dimasyhurkan semata-mata bersampingan dengan penjalanan urusan orang itu sebagai tuan punya suatu perkhidmatan maklumat.
7. Mana-mana perbadanan yang penjalanan aktiviti terkawal pengurusan kumpulan wangnya adalah semata-mata bagi faedah syarikat yang berhubungannya.
8. Mana-mana perbadanan yang penjalanan aktiviti terkawal nasihat pelaburan olehnya adalah semata-mata bagi faedah syarikat berkaitan.
9. Mana-mana perbadanan yang penjalanan aktiviti terkawal menasihati kewangan korporatnya adalah semata-mata bagi faedah syarikat yang berhubungannya dan jika syarikat yang berhubungan itu ialah suatu perbadanan tersenarai, nasihat itu tidak diedarkan kepada pemegang saham syarikat yang berhubungan itu atau selainnya diberitahu kepada umum.
10. Mana-mana orang yang menjalankan aktiviti terkawal berniaga dalam sekuriti bagi akaunnya sendiri atau bagi perbadanan yang berhubungannya melalui seorang pemegang Lesen Perkhidmatan Pasaran Modal yang menjalankan urusan berniaga dalam sekuriti.
11. Mana-mana orang yang berdagang dalam kontrak niaga hadapan—
(a) atas akaun orang itu sendiri; atau
(b) jika orang itu bukan merupakan seorang pemastautin di Malaysia yang bertindak sebagai prinsipal atau ejen melalui pemegang Lesen Perkhidmatan Pasaran Modal yang menjalankan urusan berdagang dalam kontrak niaga hadapan.
12. Sesuatu gabungan yang berdagang dalam kontrak niaga hadapan atau membuat berhubung dengan suatu kontrak niaga hadapan semata-mata atas akaunnya sendiri dan yang mematuhi peruntukan kaedah-kaedah sesuatu bursa niaga hadapan.
13. Seseorang pemegang Lesen Perkhidmatan Pasaran Modal yang menjalankan urusan berdagang dalam kontrak niaga hadapan yang perniagaan dalam sekuritinya—
(a) berhubung dengan sekuriti yang juga merupakan suatu kontrak niaga hadapan;
(b) ialah akibat langsung daripada perdagangan dalam kontrak niaga hadapan;
(c) adalah berkaitan dengan penghantar serahan suatu sekuriti, dalam kelas sekuriti yang tertakluk kepada suatu kelas kontrak niaga hadapan, menurut—
(i) dalam hal opsyen dagangan bursa layak, pelaksanaan opsyen itu; atau
(ii) dalam hal suatu perjanjian hantar serah layak, perjanjian itu sendiri; atau
(d) adalah berkaitan dengan perpindahan sekuriti sebagai kolateral atau jaminan, atau realisasi mana-mana kolateral atau jaminan, untuk obligasi di bawah suatu kontrak niaga hadapan.
14. Mana-mana perbadanan berkanun awam yang ditubuhkan di bawah manamana undang-undang bertulis yang menjalankan aktiviti terkawal berniaga dalam sekuriti atau pengurusan kumpulan wang.
15. Mana-mana bursa saham atau syarikat pemegangan bursa yang perniagaan dalam sekuritinya adalah semata-mata bersampingan dengan pengendalian olehnya suatu pasaran saham atau suatu bursa saham.
16. Suatu bursa niaga hadapan atau syarikat pemegangan bursa jika perdagangan dalam kontrak niaga hadapan adalah semata-mata bersampingan dengan pengendalian olehnya suatu pasaran niaga hadapan atau suatu bursa niaga hadapan.
17. Suatu pusat penjelasan diluluskan atau syarikat pemegangan bursa yang perniagaan dalam sekuriti atau perdagangan dalam kontrak niaga hadapan, mengikut mana-mana yang berkenaan, adalah semata-mata bersampingan dengan pengendalian olehnya kemudahan penjelasan berkenaan dengan sekuriti atau kontrak niaga hadapan, mengikut mana-mana yang berkenaan.
18. Suatu bank luar pesisir berlesen yang ditakrifkan di bawah Akta Bank Luar Pesisir 1990 [Akta 443], syarikat luar pesisir atau syarikat luar pesisir asing yang ditakrifkan di bawah Akta Syarikat Luar Pesisir 1990 [Akta 441], yang penjalanan aktiviti terkawal nasihat pelaburan olehnya kepada seseorang yang bukan merupakan pemastautin di Malaysia semata-mata bersampingan kepada urusan luar pesisirnya.
19. Seseorang penerima, penerima dan pengurus, atau pelikuidasi atau mana-mana orang yang dilantik oleh mahkamah yang penjalanan aktiviti terkawalnya adalah semata-mata bersampingan dengan kewajipannya sebagai penerima, penerima dan pengurus, pelikuidasi atau mana-mana orang yang dilantik oleh mahkamah, mengikut mana-mana yang berkenaan.
20. Seorang pemegang amanah atau orang lain yang penjalanan aktiviti terkawalnya adalah semata-mata bersampingan dengan pentadbiran olehnya suatu kompromi atau perkiraan antara suatu pertubuhan perbadanan dengan mana-mana orang lain.
21. Suatu syarikat insurans berlesen di bawah Akta Insurans 1996 atau pengendali takaful yang didaftarkan di bawah Akta Takaful 1984 yang penjalanan aktiviti terkawal pengurusan kumpulan wang olehnya adalah semata-mata bersampingan dengan pengurusan dan pentadbiran urusan insurans atau takaful itu, mengikut mana-mana yang berkenaan.
Jadual 4
[Perenggan 76(1)(a)]