s 28B Kuasa untuk meminta penyata akaun bank, dsb.
Ketua Pengarah boleh melalui notis di bawah tandatangannya menghendaki mana-mana orang untuk mengemukakan dalam masa yang dinyatakan dalam notis, tidak kurang daripada tiga puluh hari dari tarikh disampaikan notis itu, suatu pernyataan yang mengandungi butir-butir mengenai— (a) semua akaun bank— (i) atas namanya sendiri atau nama isteri atau anak tanggungannya atau secara bersesama atas apa-apa nama itu; (ii) yang dia berkepentingan atau telah berkepentingan sama ada secara bersesama atau tunggal; atau (iii) yang orang itu berkuasa atau telah berkuasa untuk menggunakan secara bersesama atau tunggal, yang merupakan akaun yang sedia ada atau telah ada pada bila-bila masa dalam suatu tempoh yang dinyatakan dalam notis; (b) semua akaun simpanan dan pinjaman, deposit, akaun syarikat bangunan dan akaun syarikat kerjasama yang mengenainya orang itu ada atau telah mempunyai apa-apa kepentingan atau kuasa untuk menggunakannya secara bersesama atau tunggal dalam tempoh itu; (c) semua aset yang orang itu dan mana-mana isteri atau anak tanggungannya sedang dimiliki atau telah dimiliki dalam tempoh itu; (d) semua pelupusan orang itu dan keuntungan yang boleh dikenakan cukai daripada pelupusan itu; dan (e) semua fakta mengenai cukai yang boleh dikenakan ke atasnya sekarang atau dahulu.