Taksiran dan taksiran tambahan
(1) Apabila diterima penyata keuntungan entiti Labuan sebagaimana yang disebut dalam seksyen 5 bagi suatu tahun taksiran, Ketua Pengarah hendaklah membuat taksiran mengikut seksyen 6A bagi tahun taksiran itu dan hendaklah menyampaikan suatu notis taksiran, kepada entiti Labuan berkenaan mengikut seksyen 6B.
(2) Ketua Pengarah, jika bagi mana-mana tahun taksiran mendapati tiada atau tiada suatu taksiran yang mencukupi telah dibuat ke atas seseorang yang boleh dikenakan cukai, boleh dalam tahun itu atau dalam tempoh lima tahun selepas tamat tempohnya membuat taksiran atau taksiran tambahan, mengikut mana-mana yang berkenaan, berkenaan dengan orang itu dalam amaun atau amaun tambahan keuntungan yang boleh dikenakan cukai dan cukai atau dalam amaun cukai tambahan, yang mengikut pertimbangan terbaik Ketua Pengarah, taksiran berkenaan dengan orang itu yang sepatutnya dibuat bagi tahun itu.
(3) Ketua Pengarah, jika bagi mana-mana tahun taksiran mendapati tiada atau tiada suatu taksiran yang mencukupi telah dibuat ke atas seseorang yang boleh dikenakan cukai berbangkit daripada keputusan Ketua Pengarah menurut subseksyen 17D(3), boleh dalam tahun itu atau dalam tempoh tujuh tahun selepas tamat tempohnya membuat suatu taksiran atau taksiran tambahan, mengikut mana-mana yang berkenaan, berkenaan dengan orang itu dalam amaun atau amaun tambahan keuntungan yang boleh dikenakan cukai dan cukai atau dalam amaun cukai tambahan, yang mengikut pertimbangan terbaik Ketua Pengarah, taksiran berkenaan dengan orang itu yang sepatutnya dibuat bagi tahun itu.
(4) Ketua Pengarah apabila mendapati bahawa—
(a) apa-apa jenis fraud atau keingkaran sengaja telah dilakukan oleh atau bagi pihak mana-mana orang; atau
(b) mana-mana orang telah cuai,
berkaitan dengan atau berhubung dengan cukai, boleh pada bila-bila masa membuat suatu taksiran berkenaan dengan orang itu bagi manamana tahun taksiran untuk tujuan membetulkan apa-apa kerugian cukai yang disumbangkan oleh fraud, keingkaran sengaja atau kecuaian itu.