s 22A Pengendali Sistem
(1) Menteri boleh, atas syor Suruhanjaya, memberi kuasa atau membatalkan pemberian kuasa mana-mana orang atau sesuatu unit, jabatan atau bahagian yang menjadi sebahagian daripada pemegang lesen untuk menjadi Pengendali Sistem melalui perintah yang disiarkan dalam Warta. (2) Pengendali Sistem hendaklah mematuhi apa-apa peraturan, kod, garis panduan atau arahan berkaitan dengan fungsinya sebagaimana yang dikeluarkan oleh Menteri atau Suruhanjaya, mengikut mana-mana yang berkenaan, di bawah Akta ini. (3) Pengendali Sistem, semasa menunaikan fungsinya di bawah Akta ini, hendaklah memastikan kelakuan tidak berdiskriminasi dan pengendalian optimum sistem kuasa itu setakat yang ia tidak menjejaskan kebolehpercayaan, keterjaminan dan keselamatan sistem kuasa itu. (4) Suruhanjaya boleh, dari semasa ke semasa, mengeluarkan kod, garis panduan atau arahan untuk mengasingkan Pengendali Sistem daripada aktiviti di bawah lesen pemegang lesen itu yang tidak berkaitan dengan fungsinya sebagai Pengendali Sistem.