s 167 Standard pelanggan
(1) Suruhanjaya boleh, atas inisiatifnya sendiri atau atas syor Forum Pengangkutan Awam Darat, menyediakan atau menyebabkan supaya disediakan standard pelanggan yang boleh dinyatakan dalam garis panduan yang dikeluarkan di bawah Akta ini, yang hendaklah termasuk tatacara contoh bagi — (a) memenuhi dengan munasabahnya kehendak pelanggan; (b) membuat, menerima dan menangani aduan pelanggan yang berkenaan dengan penjalanan atau operasi seseorang pemegang lesen, pengendali berlesen, pemegang lesen terminal atau pemegang lesen perniagaan pengantaraan, menangani pertikaian melalui proses termasuk mediasi, dan tatacara mengenai pampasan bagi pelanggan dalam hal pelanggaran standard pelanggan; dan (c) perlindungan maklumat pelanggan. (2) Perkara yang boleh ditumpukan dalam standard pelanggan termasuk — (a) pemberian maklumat kepada pelanggan berkenaan dengan perkhidmatan, kadar dan prestasi; (b) tahap perkhidmatan dan kualiti perkhidmatan yang akan disediakan untuk pelanggan; dan (c) apa-apa perkara lain yang berkaitan dengan pelanggan.