s 3B Kuasa Lembaga
(1) Lembaga hendaklah mempunyai kuasa untuk melakukan segala benda yang suai manfaat atau semunasabahnya perlu bagi atau yang bersampingan dengan pelaksanaan fungsinya. (2) Tanpa menjejaskan keluasan subseksyen (1), kuasa Lembaga hendaklah termasuk kuasa— (a) untuk menubuhkan pejabat cawangan Lembaga di mana-mana Negeri atau Wilayah Persekutuan yang didapati patut oleh Lembaga; (b) untuk menubuhkan Majlis dan jawatankuasa yang difikirkannya perlu atau suai manfaat untuk membantu dalam pelaksanaan fungsinya di bawah Akta ini; (c) untuk mengenakan fi atau apa-apa caj lain yang didapatinya patut bagi melaksanakan mana-mana fungsinya atau kuasanya; (d) untuk memberikan pendahuluan, pinjaman, dermasiswa dan biasiswa, kepada mana-mana orang, pegawai dan pekhidmat Lembaga bagi maksud keperluan tenaga manusia bagi organisasi atas terma dan syarat yang ditentukan oleh Lembaga; (e) untuk berusaha sesama dan bekerjasama dengan agensi kerajaan, organisasi bukan kerajaan, sektor swasta, agensi antarabangsa yang berkaitan dan mana-mana individu dalam perancangan, pembangunan dan pelaksanaan program, aktiviti dan perkhidmatan; dan (f) untuk melakukan benda lain yang didapatinya patut untuk membolehkannya melaksanakan fungsinya dan kuasanya secara berkesan.