s 22E Kewajipan untuk menyimpan dokumen bagi menentukan keuntungan yang boleh dikenakan cukai dan cukai yang kena dibayar
(1) Tiap-tiap orang yang dikehendaki untuk mengemukakan penyata keuntungannya bagi suatu tahun taksiran di bawah Akta ini hendaklah menyimpan dan mengekalkan dalam jagaan selamat dokumen mencukupi bagi tempoh tujuh tahun dari tamat tahun taksiran itu bagi maksud menentukan keuntungan yang boleh dikenakan cukai dan cukai yang kena dibayar olehnya. (2) Jika orang yang disebut dalam subseksyen (1) tidak mengemukakan suatu penyata yang dikehendaki di bawah Akta ini bagi suatu tahun taksiran, orang itu hendaklah menyimpan dan memegang simpan dokumen yang disebut dalam subseksyen (1) yang berhubung dengan tahun taksiran itu bagi tempoh tujuh tahun selepas tamat tahun penyata itu dikemukakan. (3) Ketua Pengarah boleh mengetepikan semua atau mana-mana kehendak di bawah subseksyen (1) berkenaan dengan apa-apa keuntungan. (4) Mana-mana orang yang dikehendaki oleh seksyen ini untuk menyimpan dokumen dan— (a) berbuat demikian secara elektronik, hendaklah mengekalkan dokumen itu dalam format elektronik yang boleh dibaca dan hendaklah menyimpan dokumen itu mengikut cara yang sebegitu rupa untuk membolehkan dokumen itu mudah diakses dan boleh ditukar ke dalam bentuk tulisan; atau (b) telah pada asalnya menyimpan dokumen dalam bentuk manual dan kemudiannya menukarkan dokumen itu ke dalam bentuk elektronik, hendaklah mengekalkan dokumen itu sebelum ditukarkan dalam bentuk asalnya. (5) Semua dokumen yang berhubungan dengan apa-apa keuntungan di Malaysia hendaklah disimpan dan dikekalkan di Malaysia. (6) Bagi maksud seksyen ini, “dokumen” ertinya— (a) penyata keuntungan; dan (b) invois, baucar, resit dan apa-apa dokumen lain yang perlu untuk menentusahkan butiran dalam penyata.