s 50C Garis panduan atau arahan oleh Suruhanjaya
(1) Suruhanjaya boleh, dari semasa ke semasa, mengeluarkan garis panduan atau arahan mengenai apa-apa perkara sebagaimana yang diperuntukkan di bawah Akta ini kepada mana-mana pemegang lesen, pemunya atau pengendali pepasangan elektrik bukan domestik, pengilang atau pengimport berdaftar, orang kompeten atau mana-mana orang. (2) Suruhanjaya boleh, dari semasa ke semasa, mengeluarkan apaapa arahan secara bertulis kepada mana-mana pemegang lesen, pemunya atau pengendali pepasangan elektrik bukan domestik, pengilang atau pengimport berdaftar, orang kompeten atau mana-mana orang mengenai pematuhan atau ketidakpatuhan Akta atau mana-mana peraturan yang dibuat di bawah Akta ini, syarat lesen, termasuk meremedikan pelanggaran syarat lesen atau mengenai apa-apa perkara lain yang menghendaki suatu arahan dibuat atau secara khususnya dibuat menjadi subjek arahan di bawah Akta ini mengikut tatacara yang ditetapkan. (3) Garis panduan atau arahan yang dikeluarkan oleh Suruhanjaya di bawah seksyen ini hendaklah didaftarkan dan hendaklah berkuat kuasa dari tarikh pendaftaran atau apa-apa tarikh yang kemudian sebagaimana yang dinyatakan oleh Suruhanjaya dalam garis panduan atau arahan itu. (4) Seorang pemegang lesen atau pemunya atau pengendali pepasangan elektrik bukan domestik, pengilang atau pengimport berdaftar, orang kompeten atau mana-mana orang hendaklah mematuhi garis panduan dan arahan itu.