s 66B Kesalahan yang dilakukan oleh syarikat
(1) Jika seseorang yang dipertuduh dengan suatu kesalahan di bawah Akta ini ialah suatu syarikat, tiap-tiap orang yang pada masa kesalahan itu dilakukan ialah pengarah atau pegawai syarikat itu boleh dipertuduh bersesama dalam prosiding yang sama dengan syarikat itu, dan jika syarikat itu disabitkan atas kesalahan yang dipertuduh itu, maka tiap-tiap pengarah atau pegawai itu hendaklah disifatkan bersalah bagi kesalahan itu melainkan jika dia membuktikan bahawa kesalahan itu telah dilakukan tanpa pengetahuannya dan bahawa dia telah menjalankan segala usaha dengan wajar sebagaimana yang dia patut jalankan, setelah mengambil kira segala hal keadaan. (2) Mana-mana orang yang boleh dikenakan apa-apa penalti di bawah Akta ini bagi apa-apa yang dilakukan atau ditinggalkan jika perkara itu telah dilakukan atau ditinggalkan olehnya sendiri boleh dikenakan penalti yang sama jika perkara itu telah dilakukan atau ditinggalkan oleh ejennya, melainkan jika dia membuktikan bahawa dia telah mengambil segala langkah berjaga-jaga yang munasabah untuk menghalang perlakuan atau peninggalan perkara itu. (3) Dalam seksyen ini, “pengarah” dan “pegawai” hendaklah mempunyai erti yang diberikan kepadanya dalam Akta Syarikat 1965.