s 2B Entiti Labuan
(1) Entiti Labuan— (a) adalah seperti yang dinyatakan dalam Jadual; dan (b) hendaklah, bagi maksud aktiviti perniagaan Labuan— (i) berhubung dengan suatu aktiviti perdagangan Labuan— (A) mempunyai bilangan pekerja sepenuh masa yang mencukupi di Labuan; dan (B) mempunyai amaun perbelanjaan operasi tahunan yang mencukupi di Labuan, sebagaimana yang ditetapkan oleh Menteri melalui peraturan-peraturan yang dibuat di bawah Akta ini; dan (ii) berhubung dengan suatu aktiviti bukan perdagangan Labuan— (A) mempunyai bilangan pekerja sepenuh masa yang mencukupi di Labuan; (B) mempunyai amaun perbelanjaan operasi tahunan yang mencukupi di Labuan; dan (C) mematuhi apa-apa syarat berhubung dengan kawalan dan pengurusan di Labuan, sebagaimana yang ditetapkan oleh Menteri melalui peraturan-peraturan yang dibuat di bawah Akta ini. (1A) Suatu entiti Labuan yang menjalankan suatu aktiviti perniagaan Labuan yang gagal mematuhi peraturan-peraturan yang dibuat di bawah subseksyen (1) bagi suatu tempoh asas bagi suatu tahun taksiran hendaklah dikenakan cukai atas kadar dua puluh empat peratus ke atas keuntungan yang boleh dikenakan cukai bagi tahun taksiran itu. (1B) Bagi maksud subseksyen (1A)— (a) keuntungan yang boleh dikenakan cukai hendaklah keuntungan bersih sebagaimana yang ditunjukkan dalam akaun teraudit berkenaan dengan aktiviti perniagaan Labuan sedemikian bagi entiti Labuan itu bagi tempoh asas bagi tahun taksiran itu; dan (b) seksyen 6, 6A, 6B, 6C, 6D, 8 dan 8A hendaklah terpakai, dengan pengubahsuaian yang perlu. (2) Menteri boleh, dengan syor Ketua Pengarah, melalui perintah yang disiarkan dalam Warta, meminda Jadual termasuk bagi maksud mengisytiharkan mana-mana orang lain sebagai suatu entiti Labuan.